KUALA TERENGGANU: Kerajaan Terengganu menasihatkan orang ramai yang ingin bercuti ke negeri ini supaya mendapatkan khidmat pelancongan daripada ejen berlesen bagi mengelak ditipu pihak tidak bertanggungjawab.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri Sulaiman Sulong berkata Terengganu sentiasa menjadi tumpuan orang ramai terutama pada musim cuti sekali gus menyebabkan ada pihak cuba mengambil kesempatan mengaut keuntungan dengan cara menipu.

"Panduan mengenai destinasi pelancongan dan maklumat berkaitan boleh diperoleh menerusi Facebook, Instagram, Twitter dan Youtube Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu.

"Selain itu, senarai ejen pelancongan berlesen dan sah juga boleh disemak melalui laman sesawang https://www.motac.gov.my/semakan/tobtab," katanya dalam kenyataan hari ini.

Kenyataan media tersebut dikeluarkan susulan penahanan pasangan suami isteri yang dipercayai terlibat dalam kes penipuan tempahan rumah inap di negeri ini, semalam.

Dilapor, mangsa yang berhasrat melancong ke negeri ini telah melakukan pembayaran secara dalam talian untuk tempahan rumah inap di Jalan Pasir Panjang di sini, namun akhirnya menyedari ditipu apabila mendapati kediaman itu sebenarnya tidak wujud.

-- BERNAMA