BUTTERWORTH:Mahkamah Sesyen Butterworth hari ini menetapkan 19 Februari depan untuk pengurusan kes rasuah bekas Menteri Kewangan Lim Guan Eng, isterinya Betty Chew dan Ahli Perniagaan Phang Li Koon.

Hakim Ahmad Azahari Abd Hamid membuat keputusan itu selepas pihak pendakwaan dan pembelaan memohon kepada mahkamah untuk melengkapkan dokumen berkaitan kes tersebut sebelum diserahkan kepada pihak mahkamah.

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwaraya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Shafiq Hasim memaklumkan, pihaknya sebelum ini telah menyerahkan kira kira 100 dokumen dalam bentuk salinan cakera padat.

Bagaimanapun, katanya, pihaknya masih memerlukan masa untuk menyerahkan baki lima dokumen berkaitan kepada pihak pembelaan.

Pihak pembelaan yang diwakili RSN Rayer dan A Ruben Kumar bersetuju dan memberitahu mahkamah bahawa pihaknya mahu dokumen dalam bentuk salinan bercetak daripada pihak pendakwaan.

Shafiq berkata, sekiranya semua dokumen sudah lengkap, pihak pendakwaan akan memohon tarikh perbicaraan pada hari tersebut.

Pada prosiding hari ini, Lim, yang juga bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, dan dua lagi tertuduh tidak hadir kerana mendapat pengecualian mahkamah.

Pada 11 Ogos lalu, Lim mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Butterworth atas pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk suapan RM372,000 bagi membolehkan sebuah syarikat ditawarkan projek.

Mengikut pertuduhan, Lim, 60 tahun, sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang dan Pengerusi Lembaga Tawaran Penang Development Corporation (PDC), telah menggunakan kedudukannya untuk suapan wang berjumlah RM372,000 bagi isterinya melalui syarikat Excel Property Management & Consultancy Sdn Bhd.

Ia bagi memastikan syarikat Magnificent Emblem Sdn. Bhd. ditawarkan Jemputan Cadangan Perkampungan Pekerja di Lot 631, Mukim 13, Juru, Seberang Perai Tengah dan Sebahagian Lot 282, Mukim 13, Batu Kawan, Seberang Perai Selatan, Pulau Pinang yang bernilai RM11,610,000.00 di mana  isterinya secara tidak langsung mempunyai kepentingan.

Beliau dituduh melakukan kesalahan itu antara 19 Ogos 2013 dan 3 Mac 2016 di pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang, Tingkat 28, KOMTAR.

Bagi kesalahan itu, beliau didakwa mengikut Seksyen 23(1) Akta SPRM 2009 (Akta 694) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.

Phang pula didakwa bersubahat dengan Lim dalam melakukan perbuatan itu di tempat dan tarikh sama.

Manakala, Chew didakwa atas tiga pertuduhan melakukan pengubahan wang haram RM372,000 yang dimasukkan ke dalam akaun bank miliknya.

Semua kesalahan didakwa dilakukan di bawah Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (Akta 613) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta yang sama.