Seorang pengutip besi buruk dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Selayang di sini hari ini atas dua pertuduhan memiliki item antaranya cakera padat (CD), video cakera padat (VCD) dan pelekat berkaitan kumpulan pengganas Harimau Tamil Eelam (LTTE), tiga minggu lalu.

A. Kalaimughilan, 28, hanya mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Maziah Joary Mohd Tajudin.

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh berikutan kes itu dibawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, lelaki itu didakwa memiliki item-item berkaitan LTTE , masing-masing di alamat Jalan Anggerik 5D, Bukit Sentosa, Rawang pada 12.35 petang, 10 Oktober 2019 dan di dalam kereta jenis Mitsubishi di hadapan rumah di alamat No 7, Jalan Anggerik 5D, Bukit Sentosa, Rawang pada 9.30 pagi, tarikh yang sama.

Bagi kedua-dua pertuduhan itu, tertuduh didakwa mengikut seksyen 130JB (1)(a) Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut peruntukan sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda dan hendaklah dilucut hak mana-mana item itu, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Rohaiza Abd Rahman, manakala tertuduh diwakili peguam V. Yoges.

Terdahulu, Rohaiza tidak menawarkan jaminan terhadap tertuduh kerana kesalahan ini tidak boleh dijamin.

Bagaimanapun Yoges memohon anak guamnya dibenarkan jaminan atas alasan tiada rujukan SOSMA (Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 di dalam pertuduhan selain anak guamnya menjaga bapa yang juga orang kurang upaya (OKU).

Jelasnya, tertuduh juga perlu menjalani rawatan di Hospital Sungai Buloh berikutan kecederaan yang dialaminya dalam satu kemalangan pada april lalu.

Mahkamah tidak membenarkan jaminan dan menetapkan 16 Disember untuk sebutan semula kes.

Pada 10 Oktober lalu, dua ADUN masing-masing dari Melaka dan Negeri Sembilan antara tujuh individu ditahan mengikuti SOSMA, selepas dipercayai terbabit dengan kumpulan pengganas LTTE.

Dua hari kemudian, polis menahan lima lagi individu selepas dipercayai terbabit dengan kumpulan yang diklasifikasikan di Malaysia sebagai pengganas bermula pada 2014.

Organisasi militan itu juga turut tersenarai sebagai pengganas di Amerika Syarikat (AS), Sri Lanka dan India.