Tahap pematuhan pelaksanaan pakaian seragam membabitkan peniaga dan pekerja di Pasar Borong Kuala Lumpur mencapai tahap 95 peratus.

Penolong Pengurus Kanan, Konsortium Pasar Borong Sdn. Bhd. (KPB), Hamzah Dolmat Azhari berkata, pencapaian itu menunjukkan semua pihak menzahirkan kerjasama bagi menjayakan kelaziman baharu susulan pandemik COVID-19.

Katanya, langkah itu bagi mewujudkan suasana dalam pasar yang lebih bersih, kemas dan teratur, selain mudah untuk mengenal pasti kedudukan pekerja dan peniaga.

Hamzah Dolmat Azhari berkata, pencapaian itu menunjukkan semua pihak menzahirkan kerjasama bagi menjayakan kelaziman baharu susulan pandemik COVID-19. - Foto Astro AWANI/Fauzi Suhaimi

"Pada hari ini bermula normal baharu penguatkuasaan pakaian seragam bagi peniaga dan pekerja pasar borong ini mengikut warna dan sektor tertentu.

Hamzah Dolmat, usaha itu bagi mewujudkan suasana dalam pasar lebih kemas dan teratur, selain mudah untuk mengenal pasti kedudukan pekerja dan peniaga.

"Selain ianya untuk menampakkan pasar ini lebih menarik, pengenalan warna ini juga dapat mengelak mereka yang tidak berkaitan berada di dalam kawasan yang tidak sepatutnya," katanya kepada Astro AWANI di sini pada Jumaat.

Terdahulu beliau bersama Pengurus KPB, Azli Din melakukan tinjauan penguatkuasaan di sekitar pasar berkenaan.

Bermula hari ini, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menguatkuasa penyeragaman baju mengikut warna membabitkan warna hijau bagi peniaga dan pekerja sayur, merah (buah), biru (ikan) manakala kuning untuk pekerja pemunggahan di pasar itu.

Baju berwarna kuning pula mewakili semua pekerja pemunggahan barangan dalam kesemua sektor. - Foto Astro AWANI/Fauzi Suhaimi
Sementara itu, seorang peniaga buah-buahan, Ng Cheong Huat memberitahu, langkah yang diambil DBKL amat bertepatan kerana diyakini mampu mengawal keadaan dalam pasar selain mudah untuk dikesan sekiranya wujud jangkitan COVID-19.

"Usaha ini amat perlu dan bagus kerana keadaan pasar dilihat jauh berbeza berbanding sebelum ini. Ianya lebih kemas, menarik dan tersusun," katanya.