Peniaga makanan ala Barat mengaku tidak bersalah langgar doktor hingga cedera

Tertuduh, Khor Wei Yeak (tengah) didakwa telah menyebabkan cedera ke atas L Avinash, dengan melanggarnya menggunakan sebuah kereta. - Gambar Astro AWANI
BUKIT MERTAJAM: Seorang peniaga makanan ala barat mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Bukit Mertajam atas pertuduhan sengaja melanggar seorang doktor sehingga menyebabkan kecederaan dalam kejadian di Lorong RFID Plaza Tol Perai pada 28 Disember lepas.
Tertuduh, Khor Wei Yeak, 32 membuat pengakuan tersebut dan minta dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa dalam Bahasa Mandarin di hadapan Majistert Nurul Rasyidah Mohd Akit.
Mengikut pertuduhan, bapa kepada seorang cahaya mata itu didakwa telah menyebabkan cedera ke atas L Avinash, 32, dengan melanggarnya menggunakan sebuah kereta .
Kesalahan itu didakwa dilakukan di lorong ketiga ( RFI) di Tol Plaza Perai jam 11.30 malam pada 28 Disember lepas.
Pertuduhan dikemukakan dibawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum 10 tahun atau denda atau mana- mana dua daripada hukuman itu.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwaraya Siti Nur Amalina Harun manakala tertuduh di wakili peguam tertuduh, C. Hari Prassaad Rao.
Semasa prosiding, pihak pendakwaan menawarkan jaminan sebanyak RM8,000 bagaimanapun peguam tertuduh memohon agar anak guamnya diberikan jaminan yang paling minima.
Menurutnya, anak guamnya berniaga makan dan memperoleh keuntungan RM 1,500 sehingga RM2,000 serta perlu menyara isteri dan anak berusia setahun lima bulan.
Nurul Rasyidah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin .
Mahkamah menetapkan 4 Mac depan sebagai tarikh sebutan semula kes bagi serahan laporan perubatan.
Sebuah portal berita sebelum ini melaporkan seorang lelaki cedera dilanggar kereta di plaza tol berhampiran LLB selepas dia keluar meminta pemandu kereta dibelakangnya berkenaan mengundur ketika kenderaan dipandu isterinya tidak dapat melepasi palang di lorong RFID.
Isteri lelaki itu yang berusia 31 tahun kemudian tampil membuat laporan polis di Balai Polis Trafik Seberang Perai Tengah berhubung kejadian yang berlaku sekitar jam 11.30 malam 28 Disember lepas.
Wanita berkenaan dalam laporannya berkata, suaminya keluar dari kenderaan mereka dan meminta kereta di belakangnya mengundur supaya dia dapat mengundur keluar dari lorong RFID itu selepas mendapat amaran tag tidak sah.
Namun, pertengkaran tercetus antara dua lelaki berkenaan sebelum suspek bertindak melanggar belakang kenderaan dinaiki suami isteri itu sebelum beredar meninggalkan tempat kejadian.
Wanita itu tidak mengalami kecederaan tetapi suaminya mendapat rawatan di Hospital Bukit Mertajam (HBM) akibat cedera di lengan kiri, rusuk kiri dan kaki kanan.
Berdasarkan rakaman kamera papan pemuka (dashcham) kenderaan mangsa mendapat,suspek ketika itu memandu dengan membawa isterinya.
Susulan kejadian berkenaan, polis menahan sepasang suami isteri untuk tindakan lanjut.
Ujian saringan air kencing yang dijalankan terhadap suspek mendapati kedua-dua mereka positif dadah.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


