BAGAN SERAI: Seorang lelaki berusia 54 tahun kerugian hampir RM1 juta selepas terpedaya dengan sindiket pelaburan mata wang kripto yang tidak wujud, di Kerian dekat sini pada Ahad.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kerian menerima laporan berhubung kejadian itu daripada mangsa yang juga seorang peniaga pada jam 11.15 malam tadi.

Katanya, mangsa sebelum ini dihubungi oleh seorang wanita yang tidak dikenali menerusi aplikasi WhatsApp dan mendakwa telah mendapat keuntungan besar menerusi pelaburan mata wang kripto itu pada 24 Jun lalu.

Mohd Yusri berkata akibat terpedaya dengan kata-kata suspek, mangsa kemudian memindahkan wang berjumlah RM5,000 ke dalam satu aplikasi kononnya membabitkan mata wang kripto yang diberikan suspek.

Ujarnya mangsa kemudian didakwa mendapat keuntungan sebanyak lebih kira-kira RM1,000 sebelum berjaya mendapatkan semula modal bersama keuntungan.

“Kemudiannya, suspek meminta mangsa membuat pelaburan lebih besar untuk mendapatkan keuntungan yang lebih tinggi.

“Oleh kerana terpedaya, mangsa telah membuat beberapa transaksi secara atas talian dan melalui kaunter bank ke tiga akaun bank berasingan yang diberikan suspek melibatkan jumlah keseluruhan RM870,000, selain mangsa telah dijanjikan keuntungan bernilai RM1.5 juta.

“Selepas itu, mangsa meminta untuk membuat pengeluaran tetapi pelbagai alasan diberikan dan mangsa juga diminta membuat bayaran proses berjumlah 30 peratus daripada jumlah pengeluaran,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Menurut Mohd Yusri, sehingga kini mangsa tidak memperoleh sebarang keuntungan daripada pelaburan tersebut dan merasakan dirinya menjadi mangsa penipuan sebelum tampil membuat laporan polis.

Tambahnya polis masih menjalankan siasatan lanjut berhubung kes itu di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Justeru beliau mengingatkan orang ramai agar tidak mudah terpedaya dengan sebarang program pelaburan yang tidak wujud.