JOHOR BAHRU: Peniaga warga asing dilarang menjalankan aktiviti perniagaan di tapak Bazar Ramadan dan Bazar Aidilfitri di seluruh Johor.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor Datuk Mohd Jafni Md Shukor berkata pihak berkuasa tempatan (PBT) tidak pernah dan tidak akan mengeluarkan lesen perniagaan kecil kepada warga asing.

"Jadi, sekiranya ada warga asing berniaga termasuk di celah-celah bazar, orang ramai diminta laporkan kepada pihak berkuasa dan kita akan ambil tindakan denda dan merampas barangan jualan mereka.

"Warga asing pun tahu sebenarnya mereka tidak boleh berniaga sebab itu di peringkat PBT, khususnya dalam Greater Johor Bahru, kita sedang menguatkuasakan tindakan kepada peniaga warga asing termasuk di Bazar Ramadan dan Bazar Aidilfitri," katanya kepada pemberita selepas melawat tapak Bazar Ramadan di Bandar Baru Uda di sini hari ini.

Sementara itu, beliau berkata kerajaan negeri telah meluluskan sebanyak 9,769 petak niaga melibatkan 182 lokasi Bazar Ramadan dan 1,904 petak niaga pula diluluskan bagi 25 lokasi Bazar Aidilfitri tahun ini.

"Peniaga terlibat perlu mematuhi setiap peraturan yang ditetapkan PBT masing-masing termasuk larangan menjual barangan cetak rompak dan menjaga kebersihan tapak perniagaan masing-masing," katanya.

Pada masa sama Mohd Jafni berkata kesemua 16 PBT di Johor akan bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan dalam memastikan aspek kebersihan dipatuhi peniaga.

"Peniaga perlu mematuhi Akta Makanan 1983 bagi menjaga keselamatan dan kualiti makanan yang dijual.

"Ini perkara biasa dan sepatutnya mereka maklum dengan perkara ini kerana majoriti daripada mereka adalah peniaga di pasar malam, pasar pagi atau pasar tani," katanya.

-- BERNAMA