KUALA LUMPUR: Peningkatan kes jangkitan COVID-19 serta jumlah pesakit yang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), bukan petanda sistem kesihatan negara sudah lumpuh.

Sebaliknya, Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Prof. Datuk Dr. Syed Mohamed Aljunid Syed Junid berkata, situasi ketika ini boleh ditambah baik dengan pengurusan dan pembahagian ICU yang lebih tersusun dan sistematik.

Ujar beliau, Malaysia mempunyai sistem kesihatan yang jauh lebih baik dan tidak boleh dibandingkan dengan beberapa negara yang kini mengalami situasi kritikal.

"Katil-katil terutama di ICU perlu ditambah, ada beberapa cara untuk pastikan katil mencukupi.

"Paling mudah, tambah bilangan ICU dengan beri kelonggaran kepada hospital (lain) yang luar daripada yang sudah diberi kelonggaran merawat pesakit COVID-19.

"Kita ada 40,000 katil... kalau 10 peratus atau 5 peratus kita guna dalam 2,000 katil, teori sajalah. Sebab mungkin ada hospital tak mempunyai kelengkapan sepenuhnya, seperti kakitangan dan ada juga yang tak cukup ventilator.

"Selain itu boleh juga guna cara outsourcing. Kerajaan boleh bagi insentif, atau beli perkhidmatan ICU di hospital swasta. Ini lebih mudah tapi kosnya tinggi dan tak semua hospital swasta boleh sediakan ICU mengikut standard yang ditetapkan bagi rawatan COVID-19," katanya ketika muncul dalam Buletin AWANI, pada Sabtu.


Kes COVID-19 meningkat di ICU, sistem kesihatan lumpuh?

Tambah beliau, terdapat kemungkinan peningkatan kes mendadak khususnya selepas musim perayaan tetapi ia adalah kerana negara mempunyai sistem pelaporan yang cepat dan efisien.

"Jangan banding dengan negara lain, sebab ada negara yang sistem pelaporannya tidak sebaik kita. Jadi sebab itu kita nampak angka di negara kita banyak dan negara lain tidak. Ini mungkin sebab sistem mereka tidak sebaik kita," ujarnya.

Sebelum ini, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah mengarahkan agar hospital di seluruh negara bersiap siaga menghadapi sebarang kemungkinan, susulan peningkatan kes di ICU.