KUALA LUMPUR: Pemerkasaan perundangan gangguan seksual kanak-kanak perlu diperkasa dalam mendepani cabaran mendatang.

Menurut Peguam Bela dan Peguam Cara, Mahmud Jumaat, pada ketika ini terdapat kelompangan dalam melindungi golongan itu dari sudut undang-undang, susulan peningkatan kes gangguan seksual melibatkan kanak-kanak sejak beberapa yang lalu.

Kata Mahmud, pelaku jenayah terkutuk ini seakan tidak berasa takut dan gerun dengan ketetapan perundangan sedia ada.

"Apa yang saya boleh lihat disini, sexual predator (pemangsa seksual) atau pedofil ini  mereka tidak gerun dengan undang-undang yang sedia ada. Kerana itulah saya bersetuju dengan mana-mana pihak yang ingin mengkaji semula undang-undang sedia ada. Mungkin hukuman yang dikenakan tidak cukup keras," jelasnya.

Pandangan beliau disuarakan dalam program AWANI Pagi pada Jumaat, yang membincangkan cara memperkasa perundangan gangguan seksual terhadap kanak-kanak.

AWANI Pagi: Gangguan seksual kanak-kanak dari sudut perundangan, apa yang kurang?

Selain itu, katanya lagi penetapan tempoh penjara maksimum 30 tahun juga wajar ditukar kepada penjara seumur hidup untuk mengubah persep rakyat bahawa jenayah ini merupakan jenayah yang begitu berat.

"Bagi kita pengamal undang-undang, penjara 30 tahun ni lebih kurang macam penjara seumur hidup. Tetapi persepsi masyarakat yang mendengar undang-undang penjara seumur hidup, ia lebih gerun.

"Kerana itu saya berpendapat, mungkin kita perlu mengubah minimum hukuman itu untuk melihat jenayah seksual terhadap kanak-kanak itu satu jenayah yang amat berat. Kita letakkan minimum hukuman seperti kes dadah yang kita boleh buat. Why not letak kes yang melibatkan pornografi kanak-kanak?" katanya.

Sebelum ini,  Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) berkata ia sedang dalam proses semakan undang-undang berkaitan Akta Kanak-Kanak 2001 untuk dibawa ke Parlimen pada masa akan datang.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri, berkata antara perkara diperincikan dalam proses semakan itu adalah membabitkan hukuman terhadap kes gangguan seksual yang dianggap masih tidak setimpal.