ISKANDAR PUTERI: Kerajaan Johor mengumumkan bantuan khas kewangan sebanyak dua bulan gaji kepada kira-kira 13,400 penjawat awam negeri ini.

Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi mengumumkan perkara itu ketika membentangkan Belanjawan Johor 2023 di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar pada Khamis.

Jelasnya, pemberian bantuan khas kewangan tersebut turut diberikan kepada kakitangan kerajaan Persekutuan yang dibayar gaji oleh kerajaan negeri.

"Alhamdulillah prestasi hasil kerajaan Johor telah mencapai sasaran selain daripada membantu rakyat, sebagai tanda penghargaan penjawat awam Johor, kita mengambil pendekatan untuk memberikan insentif berdasarkan pencapaian sebenar.

“Pemberian itu diberikan berdasarkan pencapaian sebenar dan sebagai penghargaan serta terima kasih.

“Semoga bantuan ini menjadi pembakar semangat dan pemangkin motivasi agar penjawat-penjawat awam terus berkhidmat dan berbakti dengan cemerlang serta sentiasa memberikan yang terbaik kepada Bangsa Johor,” ujarnya.

Tahun lalu, kerajaan Johor dilaporkan mengumumkan bantuan khas kewangan berbentuk sebulan gaji atau minimum RM1,000 kepada penjawat awam dan penjawat awam Persekutuan yang dibayar gaji di negeri ini.

Onn Hafiz dilaporkan berkata, bantuan khas kewangan berkenaan akan turut diterima penjawat awam agensi kerajaan pusat yang dibayar negeri, guru Kelas Agama dan Fardu Ain (KAFA), petugas Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) serta guru Tadika Islam Johor (TAJ). - Sinar Harian