AYER KEROH: Kerajaan Negeri  Melaka mengumumkan pemberian dua bantuan khas kewangan kepada kumpulan penjawat awam di negeri itu.

Ketua Menterinya, Datuk Seri Sulaiman Md Ali berkata, bantuan khas pertama berjumlah RM700 akan dibayar pada bulan ini, manakala bayaran setengah bulan gaji lagi akan diagihkan secara berasingan pada Februari dan April 2023.

“Bagi menghargai khidmat bakti kumpulan penjawat awam di negeri ini, saya mengumumkan bantuan khas kewangan sebanyak RM 700 kepada semua penjawat awam yang akan dibayar pada bulan Disember ini.

“Selain itu, penjawat awam juga akan terima bantuan khas kewangan setengah bulan gaji yang mana pembayarannya akan dibuat dua kali iaitu pada Februari 2023 bagi membantu meringankan beban dalam pembukaan sesi persekolahan dan April 2023 sebagai bantuan persiapan Aidil Fitri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan Bajet Melaka 2023 pada pada Persidangan Keempat (Bajet), Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Melaka Yang Kelima Belas, di Dewan Persidangan DUN, di sini, hari ini.

Dalam pada itu Sulaiman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lendu turut mengumumkan gantian cuti rehat bagi penjawat awam bertaraf tetap berumur 45 tahun ke atas.

“Gantian cuti rehat, bagi penjawat awam bertaraf tetap berumur 45 tahun ke atas ini akan melibatkan  implikasi kewangan bernilai hampir RM2 juta,” katanya.