Skip to main content

Malaysia

Polis siasat wanita buat laporan palsu selepas guna duit majikan

41736667025_Handcuffedwomen.jpg
Wanita berusia 41 terbabit yang bertugas sebagai pengurus operasi sebuah syarikat swasta, sebelum itu membuat laporan polis kononnya diragut oleh seorang lelaki tidak dikenali di Putra Nilai. - Gambar hiasan
Advertisement

NILAI: Polis sedang menyiasat seorang wanita dipercayai membuat laporan palsu berhubung kejadian ragut bagi mengelakkan diri dikenakan tindakan kerana menggunakan wang milik majikan berjumlah lebih RM10,000 di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Nilai Supt Johari Yahya berkata wanita berusia 41 terbabit yang bertugas sebagai pengurus operasi sebuah syarikat swasta, sebelum itu membuat laporan polis kononnya diragut oleh seorang lelaki tidak dikenali di Putra Nilai.

Beliau berkata hasil siasatan mendapati kejadian ragut yang dilaporkan itu tidak pernah berlaku, sebaliknya wanita berkenaan didakwa membuat laporan bagi menyembunyikan penggunaan wang milik majikannya.

"Laporan itu dibuat atas kepentingan peribadi dan hasil siasatan lanjut mendapati kejadian ragut yang didakwa berlaku adalah palsu. Polis membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan untuk tindakan lanjut," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata bagi tempoh 1 Jan hingga 24 Jun tahun ini, Polis Daerah Nilai membuka 11 kertas siasatan berhubung laporan polis palsu, dengan enam daripadanya didakwa di mahkamah manakala lima lagi masih dalam proses siasatan sebelum dirujuk kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut.

Katanya statistik itu menunjukkan masih terdapat segelintir pihak yang menyalahgunakan saluran laporan polis untuk kepentingan peribadi tanpa memikirkan implikasi undang-undang serta kesannya terhadap usaha pencegahan dan penyiasatan jenayah.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement