Skip to main content
Advertisement

Politik

ROS bukan nilai kelulusan parti, hanya pertukaran nama WAWASAN - Hamzah

[TB]_PC Hamzah, ketua pembangkang, WAWASAN 1_Astro AWANI
Hamzah berkata, proses melibatkan ROS ketika ini bukan mengenai kelulusan parti, tetapi kelulusan untuk menggunakan nama WAWASAN daripada Parti Cinta Malaysia (PCM). - Gambar Astro AWANI
Advertisement

KUALA LUMPUR: Presiden Parti Wawasan Negara (WAWASAN), Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata parti diterajuinya bukan baharu ditubuhkan, sebaliknya telah lama berdaftar secara sah sebelum diambil alih kepimpinan baharu.

Menurut Ahli Parlimen Larut itu, penegasan berkenaan dibuat susulan dakwaan di media sosial yang mempersoalkan status pendaftaran parti WAWASAN dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS).

"Parti ini telah ditubuhkan pada bulan Jun tahun 2009 dan parti ini sah, tidak pernah pun menjadi masalah kepada ROS.

"Saya turut menolak dakwaan kononnya WAWASAN menggunakan atau meniru perlembagaan parti lain. Jangan persoalkan seolah-olah kami ambil cedok perlembagaan orang lain.

"Surat beranak parti ini sudah ada pada 8 Jun 2009. Saya adalah Presiden yang ketiga, bukan saya baru pertama kali ambil alih daripada Presiden asal," jelasnya dalam satu sidang media, di sini, pada Khamis.

Katanya lagi, proses pengambilalihan kepimpinan parti dilakukan mengikut peruntukan perlembagaan sedia ada dan semua pemimpin baharu telah diterima secara sah sebagai ahli serta pimpinan parti.

Tambah Hamzah, proses yang sedang berjalan ketika ini hanyalah mendapatkan kelulusan ROS terhadap pertukaran nama parti daripada Parti Cinta Malaysia (PCM) kepada Parti Wawasan Negara.

“Kita hantar permohonan kepada ROS, kemudian ROS akan tengok semula sama ada nama itu (WAWASAN) boleh digunakan atau tidak.

“Saya fikir nama itu sesuai, tidak ada orang lain yang menggunakan nama sama. Ketika ini, proses bukan mengenai kelulusan parti, tetapi kelulusan untuk nama itu,” katanya.  

Sebelum ini, Naib Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, parti itu membantah keras tindakan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar yang didakwa memaksa Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) PN menerima kemasukan Wawasan sebagai parti komponen PN.

Menurut Ahmad Faizal dalam satu kenyataan, ia dilakukan secara tergesa-gesa walaupun pelbagai isu perundangan dan pentadbiran masih belum diselesaikan.

Must Watch Video

Advertisement