MALAYSIA
Penjawat awam perlu patuh garis panduan jika sertai ‘Perhimpunan Turun Anwar’

Amirudin menyatakan tiada pekeliling dikeluarkan khusus untuk melarang penyertaan penjawat awam dalam 'Perhimpunan Turun Anwar' esok. - Foto Shahir Omar/ASTRO AWANI
SHAH ALAM: Kerajaan Selangor menasihatkan penjawat awam supaya mematuhi garis panduan dan arahan pentadbiran sedia ada sekiranya ingin menyertai 'Perhimpunan Turun Anwar' yang dijadualkan berlangsung esok (Sabtu).
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari menegaskan, meskipun tiada pekeliling dikeluarkan khusus untuk melarang penyertaan penjawat awam dalam perhimpunan tersebut, namun tanggungjawab mereka sebagai penjawat awam sudah termaktub dalam piagam perkhidmatan awam.
“Saya rasa dalam piagam penjawat awam itu jelas kepada mereka bahawa siapa pun yang mentadbir, siapa pun yang memerintah. Kalau kita nak halang, nak ikat tangan mereka, tak bolehlah. Itu hak mereka.
“Saya percaya mereka tahu tentang peraturan dan garis panduan yang telah diberikan. Mereka juga faham batasan dalam memberi sokongan sama ada kepada kerajaan atau pembangkang,” katanya ketika sidang media Majlis Perasmian Pesta Buku Kanak-Kanak Selangor 2025.Amirudin juga menegaskan bahawa sebarang tindakan terhadap penjawat awam yang menyertai perhimpunan itu adalah tertakluk kepada budi bicara jabatan masing-masing.
“Itu bukan di bawah kelolaan saya. Saya tidak ada arahan yang spesifik, tetapi saya memperhalusi dan mengikuti batas-batas yang telah ditetapkan,” tambahnya.
Dalam masa yang sama, beliau turut menyebut bahawa faktor kesihatan dan cuaca turut menjadi pertimbangan bagi sesetengah penjawat awam terhadap penglibatan dalam aktiviti politik.
Perhimpunan 'Turun Anwar' dianjurkan di sebalik kritikan semakin meningkat terhadap pentadbiran Anwar Ibrahim, di mana kenaikan cukai dan harga barang, skandal rasuah, krisis kehakiman dan penarikan subsidi menjadi antara aduan utama.
Perhimpunan yang dijangka berlangsung di ibu negara pada Sabtu dijangka membabitkan lima lokasi iaitu Masjid Negara, Pasar Seni, Masjid Jamek Sultan Abdul Samad, Masjid Jamek Kampung Baru dan Kompleks SOGO, sebelum peserta menuju ke Dataran Merdeka.
Lebih 2,000 pegawai dan anggota polis akan ditempatkan di Kuala Lumpur pada hari Sabtu untuk protes terhadap Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang dijangka menarik kira-kira 15,000 orang.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami