BRICKFIELDS: Seorang penjual buah berusia 80 tahun mati ditikam di hadapan sebuah rumah dua tingkat di Taman OUG di sini, pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor berkata, pihaknya bergegas ke tempat kejadian sejurus menerima panggilan kira-kira pukul 7.40 malam.

"Mangsa ditemukan dengan beberapa kesan tikaman di badan dan muka," katanya dalam kenyataan di sini, pada Rabu.

Amihizam menambah, menurut salah seorang saksi, mangsa kerap datang ke rumah tersebut yang dijadikan sebagai stor penyimpanan buah-buahan untuk mengambil buah-buahan itu untuk dijual ke pasar pagi.

Berdasarkan hasil risikan, beliau memberitahu, polis menahan empat lelaki berusia 29 hingga 53 tahun untuk siasatan lanjut.

Setakat ini, katanya, polis masih mengenal pasti motif kejadian.

Ujar beliau, kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh yang memperuntukan hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi mana-mana balai polis terdekat atau hotline Polis Brickfields di talian 03-2297 9222 atau hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 dengan segera.