KUALA TERENGGANU: Seorang Penolong Pegawai Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) berdepan hukuman berat selepas dihadapkan di Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis atas empat pertuduhan memiliki senjata api, peluru, pistol tiruan dan senjata berbahaya awal bulan ini.
Tertuduh, Mohd Faizal Fauzi, 39, bagaimanapun mengaku bersalah selepas kesemua pertuduhan tersebut dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Mohd Zul Zakiqudin Zulkifli.
Mengikut pertuduhan pertama, dia didakwa memiliki sepucuk pistol jenis Smith & Wesson secara menyalahi undang-undang di dalam sebuah kereta Nissan Grand Livina.
Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan sebatan tidak kurang daripada enam kali, jika sabit kesalahan.
Untuk pertuduhan kedua, Mohd Faizal didakwa memiliki 77 butir amunisi tanpa lesen sah melibatkan peluru berkaliber 9 milimeter (mm) dan 5.56 mm.
Pendakwaan itu dibuat mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya sekali.
Bagi pertuduhan ketiga, dia didakwa memiliki sepucuk pistol tiruan jenis Airsoft Kimber Yonkers NY U.S.A mengikut Seksyen 36(1) Akta Senjata 1960.
Selain itu, tertuduh turut berdepan pertuduhan keempat iaitu memiliki dua bilah kerambit bersarung kayu yang merupakan senjata berbahaya di tempat awam tanpa maksud yang sah.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958.
Kesemua kesalahan berkenaan didakwa dilakukan di tepi Jalan Kampung Tok Lawit, Hulu Terengganu kira-kira jam 6.30 petang, pada 10 Mei lalu.
Mahkamah kemudiannya menetapkan 7 Jun depan sebagai tarikh sebutan semula bagi fakta kes dan hukuman, selain tiada sebarang jaminan ditawarkan kepada tertuduh.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nur Aisyah Mohamad manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Sementara itu, di Mahkamah Majistret Marang, tertuduh sama turut dihadapkan atas dua pertuduhan berkaitan memiliki dan mengedar dadah berbahaya pada tarikh, masa dan lokasi yang sama.
Bagi pertuduhan pertama, Mohd Faizal didakwa mengedar dadah berbahaya jenis kanabis seberat 227.18 gram di tepi Jalan Kampung Tok Lawit, Kuala Berang kira-kira jam 6.30 petang, 10 Mei lalu.
Lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup serta sebatan tidak kurang 12 kali, jika tidak dijatuhi hukuman mati.
Bagi pertuduhan kedua di mahkamah sama, dia didakwa memiliki dadah disyaki jenis Nitrazepam seberat 18.56 gram mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 12(3) akta sama.
Sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh bagi kes tersebut.
Majistret Nur Athirah Hashim menetapkan 24 Ogos depan sebagai tarikh sebutan semula kes. - Sinar Harian