DAMANSARA: Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) 2022 dilancarkan bagi menghapuskan  prejudis antiminyak sawit oleh negara-negara barat terhadap mutu produk dan pengurusan ladang sawit Malaysia.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin berkata, tiga elemen yang ditambah dalam MSPO 2022 itu ialah kitaran ekonomi, buruh paksa dan penempatan pekerja ladang bagi menggantikan MSPO terbitan pertama pada tahun 2013.

Jelasnya lagi MSPO 2022 itu diperlukan bagi keperluan kemampanan global dan menyeimbang kebolehgunaan terhadap industri minyak sawit.

“Dengan adanya usaha ini menunjukkan Malaysia berusaha untuk mengatasi masalah dan aduan yang dibuat oleh negara barat. Kita menentangnya kerana tidak berasas.

“Namun demikian kita tetap meningkatkan mutu pengurusan dan piawaian dari semasa ke semasa,” kata Zuraida dalam sidang media selepas melancarkan MSPO 2022, pada Selasa. 

Sehingga kini, katanya, sebanyak 85 peratus daripada ladang kelapa sawit di negara ini memiliki MSPO yang dikeluarkan Jabatan Standard Malaysia.