Penstrukturan semula atau penggabungan semua konsesi dapat menurunkan sehingga 50 peratus kadar tol di negara ini.

Pensyarah Putra Business School Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Madya Dr. Abu Sofian Yaacob menegaskan, baki bayaran tol yang perlu dibayar kelak hanya untuk menampung kos penyelenggaraan lebuh raya berkenaan.

"Sebab kalau kita hendak hapuskan tol, ini macam tak logik kerana kalau kita hapuskan tol, bagaimana dari segi penyelengaraan, siapa hendak bayar tentang penyelenggaraan itu.

"Kalau hendak buat pengurangan kos tol, jadi mungkin kita boleh kurangkan bukan kata 25 peratus tetapi sehingga 50 peratus tetapi dengan membuat penstrukturan semula konsesi sedia ada.

"Maknanya kalau konsesi itu sudah habis atau akan habis, apa kita buat, kita akan gabungkan syarikat-syarikat ini dan kita buat satu sahaja syarikat yang mengendalikan tol. Sekarang kalau kita tengok tol sudah kurang tenaga kerja, dengan cara elektronik," katanya ketika dihubungi di sini, pada Selasa.

BACA: Kerajaan belum ada keputusan mengenai isu kadar tol

BACA:
'Harga barang boleh turun, kadar tol pula boleh turun 25 peratus' - Tun Daim

Sebelum ini, Bekas Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan, Tun Daim Zainuddin mendedahkan, kerajaan berupaya menurunkan kadar tol sehingga 25 peratus dan ia terpulang jika kerajaan mahu turunkan.

Bagaimanapun, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menjelaskan, kerajaan belum membuat sebarang kata putus mengenai cadangan sama ada untuk mengurangkan atau menghapuskan kadar tol di negara ini.


Beliau berkata, walaupun usaha menghapuskan tol adalah antara kandungan manifesto Pakatan Harapan sebelum ini, namun ia dilihat akan menambah tanggungan kerajaan.

Dalam perkembangan berasingan, Dr. Abu Sofian menjelaskan, penurunan harga barangan boleh dikaitkan juga dengan kos, prestasi mata wang, cukai, serta peranan koperasi atau Dewan Perniagaan sendiri.

Terdahulu, Daim menjelaskan, kajiannya mendapati harga barang boleh turun dengan menangani masalah orang tengah yang mengaut keuntungan melampau.