KOTA BHARU: Seorang pensyarah bersama pengurus sebuah syarikat ditahan pada Rabu disyaki mengemukakan dokumen yang mengandungi butiran matan palsu bagi mendapatkan kemudahan pembiayaan kredit berjumlah kira-kira RM2 juta.

Menurut sumber Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), dua suspek lelaki berumur sekitar 40-an itu ditahan pada jam 2.30 petang ketika hadir di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kelantan bagi dirakamkan keterangan.


Seorang pensyarah bersama pengurus sebuah syarikat ditahan pada Rabu disyaki mengemukakan dokumen yang mengandungi butiran matan palsu bagi mendapatkan kemudahan pembiayaan kredit berjumlah kira-kira RM2 juta.

"Kedua-dua suspek yang berjawatan Pengarah dan Pengurus di sebuah syarikat yang sama disyaki telah mengemukakan dokumen yang mengandungi butiran matan palsu kepada sebuah anak syarikat milik Perbadanan Menteri Besar Kelantan.

"Dokumen mengandungi butiran matan palsu ini bertujuan untuk mendapatkan kemudahan kredit berjumlah kira-kira RM2 juta bagi pembelian lembu pedaging," katanya.

Permohonan reman selama lima hari bermula hari ini sehingga 15 Januari 2024 terhadap kedua-dua suspek dikeluarkan oleh Majistret Mohamad Hafizul Awang selepas permohonan dibuat di Mahkamah Majistret Kota Bharu pada Khamis.

Sementara itu, Pengarah Kanan Siasatan SPRM, Datuk Seri Hishamuddin Hashim ketika dihubungi mengesahkan tangkapan terhadap kedua-dua suspek bersama seorang lagi individu yang kemudian dilepaskan dengan jaminan SPRM dan kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

*Artikel asal yang disiarkan di Sinar Harian