MALAYSIA
Penuaan penduduk, budaya buli antara punca perlu Kementerian Hak Asasi Manusia - AICHR

Edmund berkata ketika ini hal ehwal hak asasi manusia di Malaysia dikendalikan oleh pelbagai agensi seperti Suhakam, BHEUU di bawah Jabatan Perdana Menteri, serta Kementerian Luar Negeri. - Gambar fail/BERNAMA
BANGI: Malaysia wajar mempertimbangkan penubuhan sebuah Kementerian Hak Asasi Manusia khusus bagi memperkukuh reformasi institusi dan menangani isu baharu berasaskan hak asasi, kata Pengerusi Suruhanjaya Antara Kerajaan ASEAN Mengenai Hak Asasi Manusia (AICHR) yang juga wakil Malaysia ke AICHR, Edmund Bon Tai Soon.
Ringkasan AI
- Edmund Bon cadang Malaysia tubuh Kementerian Hak Asasi Manusia bagi kukuhkan reformasi dan tangani isu baharu seperti iklim, penuaan dan hak pekerja.
- Beliau tekankan isu buli dan budaya keganasan di sekolah perlu ditangani, serta hak warga emas mesti diiktiraf menjelang Malaysia jadi negara tua 2030.
- Bon juga gesa pembangunan dan isu alam sekitar seperti jerebu dilihat dari perspektif hak asasi manusia, bukan sekadar ekonomi atau teknikal.
"Negara seperti Indonesia dan Thailand sudah mempunyai kementerian hak asasi manusia yang secara langsung menyokong aktiviti AICHR.
"Tetapi di Malaysia, tanggungjawabnya berselerak, menjadikan usaha mengarusperdanakan perspektif hak asasi manusia dalam isu seperti perubahan iklim, penuaan dan hak pekerja lebih sukar," katanya pada sidang media sempena Konsultasi AICHR ke-3 mengenai Hak Asasi Manusia terhadap Pembangunan di sini, hari ini.
Bon berkata antara isu yang memerlukan perhatian segera ialah peningkatan kes buli di Malaysia, khususnya di sekolah, yang dikaitkan dengan budaya keganasan masih diterima dalam masyarakat seperti hukuman rotan.
"Buli tidak boleh dilihat secara berasingan. Selagi kita membenarkan hukuman rotan di sekolah dan hukuman korporal, kita mengekalkan budaya keganasan. Pendekatan ini perlu berubah jika mahu mengurangkan kes gangguan, gangguan seksual dan buli yang dalam beberapa kes menyebabkan kematian," tegasnya.
Beliau menambah sebuah badan bertaraf kementerian akan mempunyai lebih kuasa untuk bekerjasama dengan polis, pihak berkuasa pendidikan dan agensi sosial bagi melaksanakan langkah pencegahan serta penguatkuasaan reformasi.
Pengerusi AICHR itu turut menekankan bahawa Malaysia dijangka menjadi negara tua menjelang 2030 apabila 15 peratus penduduk berusia 60 tahun ke atas.
"Dengan tenaga kerja yang semakin mengecil dan jangka hayat lebih panjang, kita perlu melihat penuaan bukan sekadar isu kebajikan sosial tetapi sebagai isu hak asasi manusia. Warga emas berhak mendapat manfaat perubatan, perlindungan persaraan dan akses penjagaan sebagai satu hak, bukan ihsan," katanya.
Beliau menjelaskan Malaysia dan Filipina kini menerajui inisiatif ASEAN dalam ekonomi penjagaan, namun rantau ini masih ketinggalan dalam mengiktiraf hak warga emas.
Data menunjukkan ASEAN sedang mengalami perubahan demografi pesat dengan beberapa negara anggota bakal menjadi negara tua dalam dekad akan datang. Negara tua ditakrifkan sebagai negara yang mempunyai 15 peratus penduduk berusia 60 tahun ke atas.
Malaysia dijangka mencapai tahap itu menjelang 2030, seiring kadar kesuburan menurun kepada 1.6 kelahiran seorang wanita pada 2023, lebih rendah daripada kadar penggantian 2.1.
Singapura dan Thailand telah pun berada dalam kategori masyarakat tua, dengan Singapura merekodkan 15.2 peratus penduduk berusia 65 tahun ke atas pada 2020 dan dijangka meningkat kepada 25 peratus menjelang 2030. Thailand pula memasuki kategori negara tua pada 2021 dan dijangka menjadi "masyarakat super tua" menjelang 2035.
Vietnam dijangka menjadi negara tua pada 2036 manakala Brunei pada 2039. Indonesia dan Filipina walaupun masih mempunyai populasi muda, akan turut berdepan tekanan penuaan menjelang 2040-an.
Sementara itu, Bon berkata pembangunan mesti ditakrif semula melangkaui pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dengan memasukkan keadilan sosial, keterangkuman dan kemampanan.
"Hak untuk pembangunan merangkumi dimensi ekonomi, sosial, budaya dan politik. Jika kita hanya fokus kepada KDNK, kita terlepas inti pati kesejahteraan dan maruah manusia," katanya.
Ekonomi ASEAN terus berkembang stabil dengan KDNK nominal blok itu dianggarkan US$4.07 trilion pada 2025, atau kira-kira US$5,957 per kapita.
Menyentuh cabaran alam sekitar, beliau berkata pencemaran jerebu berulang di rantau ini juga wajar ditafsir sebagai isu hak asasi manusia.
"Jerebu menjejaskan kesihatan dan kesihatan adalah hak asasi. Walaupun ASEAN sudah ada Perjanjian Jerebu Rentas Sempadan, ia belum dilaksanakan sepenuhnya kerana ada negara enggan berkongsi maklumat. Kita mesti terus mendesak agar pencegahan jerebu bukan sekadar tanggungjawab alam sekitar, tetapi juga komitmen hak asasi manusia," katanya.
Konsultasi dua hari bertemakan "Hak Asasi Manusia terhadap Pembangunan untuk Memperkasa Komuniti ASEAN: Persilangan Perniagaan dan Hak Asasi Manusia, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim" itu bertujuan memperkasa cadangan Deklarasi ASEAN mengenai Hak untuk Pembangunan serta merangka pelan tindakan ke arah pembangunan inklusif dan mampan.
Diadakan di bawah Kepengerusian ASEAN-Malaysia, konsultasi itu menghimpunkan pegawai kerajaan, wakil sektor swasta dan masyarakat sivil untuk membincangkan persilangan isu perniagaan, alam sekitar, perubahan iklim dan hak asasi manusia.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami