KUALA LUMPUR: Cadangan penubuhan Majlis Media Malaysia yang disifatkan sebagai mekanisme kawal selia industri itu, tidak bertentangan dengan prinsip kebebasan media yang diperjuangkan kerajaan, Dewan Negara diberitahu hari ini.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Teo Nie Ching berkata, kebebasan media tidak bermakna kebebasan tanpa had, namun media bertanggungjawab untuk membuat pelaporan daripada sumber yang sahih, beretika dan adil.

"Negara jiran Indonesia, mereka mempunyai Dewan Pers iaitu satu bentuk Majlis Media, tetapi apa yang kita hendak adalah regulation itu, adalah daripada pihak industri sendiri supaya tiada orang yang menyalahgunakan kuasa.

"Dalam konteks kita (Malaysia), selalu orang risau bahawa sebagai kerajaan kami akan guna undang-undang sedia ada untuk mengekang kebebasan media, tetapi kalau regulation itu daripada industri sendiri, saya rasa itu adalah lebih adil dan boleh memastikan kepentingan semua pihak termasuk kerajaan, pembangkang dan orang awam," katanya pada sesi soal jawab.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Senator Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai sama ada mekanisme kawal selia industri media menerusi penubuhan Majlis Media Malaysia adalah bertentangan dengan prinsip kebebasan media yang diperjuangkan kerajaan.

Teo berkata, Majlis Media Malaysia berfungsi sebagai platform bagi mana-mana pihak yang tidak selesa atau tidak berpuas hati dengan pelaporan media untuk mengemukakan laporan mereka.

Ditanya mengenai sesi libat urus berhubung cadangan penubuhan Majlis Media Malaysia oleh Senator Datuk Juhanis Abd Aziz, Teo berkata, satu mesyuarat akan diadakan selepas jawatankuasa kerja sementara (jawatankuasa pro-tem) selesai menyediakan maklum balas mengenai draf rang undang-undang Majlis Media Malaysia.

Selain itu, beliau berkata, terdapat cadangan untuk memasukkan peruntukan dalam rang undang-undang itu bagi memastikan 30 peratus ahli jawatankuasa wanita dalam Majlis Media Malaysia, namun perkara itu perlu mendapatkan persetujuan bersama jawatankuasa kerja sementara dan pihak berkepentingan.

"Kementerian ini sedang giat mengadakan beberapa siri perbincangan bersama jawatankuasa kerja sementara yang terdiri daripada wartawan, penerbit, penyiar dan organisasi berita mengenai perincian penubuhan Majlis Media Malaysia.

"Perbincangan ini merangkumi pelbagai aspek termasuk mengenai fungsi dan dana Majlis Media Malaysia yang turut terkandung di dalam draf rang undang-undang Majlis Media Malaysia yang sedang dikemas kini untuk persetujuan bersama," katanya. - BERNAMA