KUALA LUMPUR: Mesyuarat Pertama Majlis Biodiversiti Negara (MBN1) bersetuju supaya penubuhan Pusat Biodiversiti Malaysia (MBC) diangkat untuk pertimbangan Jemaah Menteri.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata ia bagi meningkatkan pengurusan biodiversiti negara dan merealisasikan penubuhan Muzium Sejarah Alam Semula Jadi Malaysia.

"Ini akan dibincangkan lebih lanjut dan mengambil input kerajaan negeri daripada kementerian-kementerian dan bagaimana arah tuju untuk kita menubuhkannya.

"MBN1 juga berbincang berhubung kait konflik manusia dan hidupan liar di Semenanjung Malaysia; cadangan usaha konservasi spesies pokok Gelam; pelaksanaan akses dan perkongsian faedah di Sabah; dan projek Reef Ball di Sarawak," katanya dalam sidang media di Bangunan Parlimen selepas mempengerusikan mesyuarat itu, di sini hari ini.

Fadillah yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi berkata mesyuarat kali ini menekankan kepentingan mengarusperdanakan pengurusan biodiversiti melalui pendekatan keseluruhan negara melibatkan peringkat kebangsaan, negeri dan komuniti.

Beliau berkata mesyuarat yang merupakan platform utama bagi kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri membincangkan hala tuju dan strategi biodiversiti di peringkat kebangsaan itu antaranya dihadiri menteri-menteri dan timbalan menteri Persekutuan, Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad dan Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow.

Katanya, tiga Kertas Pertimbangan dan empat Kertas Makluman yang merangkumi inisiatif konservasi biodiversiti di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak telah dibentangkan dan MBN1 bersetuju dengan Terma Rujukan Majlis Biodiversiti Negara serta penyelarasan Kunming-Montreal Global Biodiversity Framework ke dalam Dasar Kepelbagaian Biologi Kebangsaan 2016-2025.

Ditanya mengenai kenyataan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) RimbaWatch yang melaporkan lebih 2.3 juta hektar ditetap untuk penebangan, Fadillah berkata menteri berkaitan akan menjawab secara terperinci perkara itu.

"Komitmen kita adalah untuk memastikan bahawa kita dapat memelihara hutan lebih 50 peratus, sekarang ini pun dah lebih dan tidak akan kurang daripada 50 peratus ... itu komitmen kita.

"Kalau kita melihat apa yang berlaku sekarang, komitmen di peringkat kerajaan negeri juga tidak akan melakukan penebangan hutan-hutan untuk penanaman khususnya komoditi.

"Misalnya kelapa sawit, kita dah hadkan maksimum 6.5 juta hektar sahaja di seluruh negara kita ... sekarang lebih kurang penanaman hanya 5.8 juta hektar sahaja," katanya.

Terdahulu, beliau melancarkan Pelan Induk Rangkaian Ekologi Central Forest Spine (PIRECFS) bagi menghubung, mengekalkan dan memelihara serta memulihara kawasan-kawasan hutan yang terpisah di Semenanjung Malaysia di kawasan Central Forest Spine (CFS).

-- BERNAMA