AMPANG: Seorang lelaki maut selepas tercampak dari motosikal berkuasa tinggi yang ditunggangnya sebelum jatuh dari jambatan di Kilometer 22.2 Lebuhraya Duta-Ulu Kelang (SUKE) susur Hulu Klang di sini, pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, pihaknya menerima laporan berkaitan kemalangan itu pada jam 1.10 petang.

"Siasatan awal mendapati, mangsa, Ahmad Fadzil Omar Azaddin, 64, menunggang motosikal jenis Ducati Panigale melalui jalan berselekoh.

"Mangsa kemudian cuba mengelak sebuah motosikal lain yang melawan arus, namun dia kemudian melanggar penghadang sebelah kiri jalan, sebelum tercampak dan terjatuh ke bawah jambatan pada ketinggian kira-kira 30 meter, manakala motosikal yang ditunggangnya telah terseret ke tengah jalan," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Mohd Azam berkata, mayat mangsa telah ditemui dalam keadaan tertiarap di belakang pagar Stesen Kawalan Smart Sungai Klang.

Akibat kejadian itu katanya, mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kaki dan telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian," katanya.

Beliau berkata, polis ketika ini sedang mengesan penunggang motosikal yang melawan arus tersebut dan meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) daripada pihak SUKE.

Jelasnya, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku berpunca daripada kecuaian penunggang motosikal yang tidak dikenal pasti yang menunggang secara melulu dan menyebabkan kematian.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Saksi bebas yang menyaksikan kejadian tersebut diminta untuk tampil menyalurkan maklumat atau berhubung terus dengan Pegawai Penyiasat Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya, Inspektor Muhamad Yusaiful Muhamat Basir di talian 011-1307 8348," katanya. - Sinar Harian