Penunggang motosikal warga China maut bergesel dengan lori

Seorang lelaki warga China berusia 19 tahun maut selepas motosikal yang ditunggangnya bergesel dengan tayar belakang sebuah lori. - Gambar fail
JOHOR BAHRU: Seorang lelaki warga China berusia 19 tahun maut selepas motosikal yang ditunggangnya bergesel dengan tayar belakang sebuah lori di susur KM18 Jalan Johor Bahru-Pontian, arah Johor Bahru, di sini kira-kira 10.45 pagi tadi.
Pemangku Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara Supt Azrol Anuar Nor berkata kemalangan dipercayai berlaku apabila motosikal jenis Honda Vario 150 yang ditunggang mangsa dari arah Paradigm Mall menuju ke Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai bergesel dengan tayar belakang sebelah kiri sebuah lori jenis Hino GH1JMPA.
"Semasa kejadian, penunggang motosikal itu dipercayai cuba memotong lori berkenaan dari sebelah kiri di selekoh susur KM18 Jalan Johor Bahru-Pontian," katanya dalam kenyataan hari ini.
Azrol Anuar berkata mangsa cedera bahagian tangan serta disyaki mengalami kecederaan dalaman sebelum disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan.
Beliau berkata pemandu lori berusia 59 tahun yang juga lelaki warga tempatan tidak mengalami sebarang kecederaan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Inspektor Muhammad Hafiz Aminuddin di talian 011-35807871.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


