TANJUNG MALIM: Dua wanita, yang dipercayai menunggang motosikal secara berbahaya dan melulu di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS), seperti tular di media sosial, menyerah diri kepada pihak polis malam tadi.

Ketua Polis Daerah Muallim Supt Mohd Hasni Mohd Nasir berkata, suspek hadir di Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muallim, kira-kira jam 9.10 malam, untuk membantu siasatan.

Menurutnya, suspek berumur antara 18 dan 21 tahun serta berasal dari Pulau Indah, Selangor.

Terdahulu, katanya, kira-kira jam 2 petang semalam, tular rakaman video di media sosial mengenai sekumpulan penunggang motosikal yang menunggang secara berbahaya dan melulu di PLUS arah utara, di kawasan Behrang - Slim River.

“Siasatan mendapati sekumpulan penunggang yang terdiri daripada dua orang wanita dipercayai dari arah Kuala Lumpur ke Ipoh, melalui Lebuhraya Utara-Selatan.

“Apabila tiba di kawasan Rehat dan Rawat Behrang, mereka melakukan aksi berbahaya dengan meluruskan kaki ke belakang (superman) serta zig-zag ke kanan dan kiri jalan,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

Menurutnya, hasil daripada percakapan suspek, kejadian berlaku pada Ahad lalu di Kilometer 375.9 lebuh raya berkenaan.

Katanya, kedua-dua suspek akan diberi jaminan polis selepas selesai tindakan dan siasatan dilakukan.

Kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Seksyen tersebut memperuntukkan hukuman penjara maksima lima tahun dan denda sehingga RM15,000 serta hilang kelayakan memegang atau mendapatkan lesen memandu sekurang-kurangnya dua tahun, jika sabit kesalahan.

Mohd Hasni menasihatkan orang ramai agar tidak melakukan perbuatan berbahaya di atas jalan raya kerana bukan sahaja menyalahi undang-undang, malah boleh membahayakan nyawa sendiri dan pengguna jalan raya yang lain.