TEMERLOH: Tiga penuntut institusi pendidikan dan seorang pelajar tingkatan tiga mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menunggang motosikal secara melulu dan berbahaya, baru-baru ini.

Ammar Muizzuddin Abdul Aziz, 19, Wan Muhammad Syahmi Wan Zulkifli, 20, Mohamad Haiqal Mohd Hanafi, 22, dan seorang remaja berusia 15 tahun membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Ahmad Rizki Abdul Jalil.

Kesemua mereka didakwa melakukan kesalahan itu ketika menunggang motosikal jenis Yamaha YI5ZR di Kilometer 127 Lebuhraya Pantai Timur arah timur, Temerloh sekitar 6.30 petang, Ahad lepas.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun dan denda tidak lebih RM5,000 dan maksimum RM15,000, jika sabit kesalahan.

Peguam yang mewakili kesemua tertuduh Khairul Anuar Abu Hasan Ashaari memohon supaya jaminan dikurangkan memandangkan kesemua tertuduh masih belajar dan di bawah tanggungan ibu bapa.

Timbalan Pendakwa Raya Khairunnisa Zaffar menawarkan jaminan sebanyak RM5,000 setiap seorang kepada tiga penuntut institusi pendidikan itu dan RM2,000 bagi remaja berusia 15 tahun.

Mahkamah membenarkan ketiga-tiga lelaki berkenaan diikat jamin sebanyak RM3,000 seorang manakala jaminan RM1,500 kepada remaja berkenaan dan menetapkan 6 Feb depan untuk sebutan semula kes di Mahkamah Majistret Temerloh.

Terdahulu, kesemua tertuduh tiba di mahkamah kira-kira 8 pagi dengan keadaan mengalami luka di bahagian tangan dan kaki.

Sebelum ini, tular video berdurasi 28 saat mempamerkan aksi berbahaya sekumpulan penunggang motosikal melakukan gaya "Superman" sehingga menyebabkan berlaku kemalangan di LPT1.

Kejadian berkenaan berlaku pada Ahad lepas dan dirakam sendiri oleh seorang daripada penunggang motosikal berkenaan.

-- BERNAMA