KUANTAN: Polis sedang menyiasat video tular yang memaparkan aksi berbahaya sekumpulan penunggang motosikal melakukan gaya "Superman" sehingga menyebabkan berlaku kemalangan di Lebuhraya Pantai Timur 1 (LPT1).

Ketua Polis Daerah Temerloh ACP Mazlan Hassan berkata pihaknya telah mengesan rakaman video berdurasi 28 saat berkenaan yang tular menerusi media sosial pada 10 pagi tadi.

Beliau berkata kejadian terbabit didapati berlaku di KM 127 arah timur LPT 1 pada Ahad lepas dan dirakam sendiri oleh seorang daripada penunggang motosikal berkenaan.

"Polis sedang giat menjejaki mereka yang terlibat dan beberapa penunggang motosikal itu telah tampil ke Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Temerloh bagi membantu siasatan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mazlan berkata kes disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menunggang secara melulu dan membahayakan, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu diminta tampil membantu pihak polis dengan menghubungi talian 09-2716222.

-- BERNAMA