ARAU: Polis menahan seorang penuntut sebuah institusi pengajian tinggi (IPT) hari ini berhubung kes penemuan seorang bayi perempuan dipercayai baharu dilahirkan yang dibalut dengan plastik hitam di hadapan sebuah gerai berhampiran Taman Seri Wang.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Kontinjen Perlis ACP Wari Kiew berkata pihaknya menerima panggilan daripada orang awam berhubung penemuan bayi itu sekitar pukul 9.10 pagi tadi dalam keadaan masih bertali pusat.

"Hasil siasatan awal mendapati Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Perlis juga telah menerima panggilan daripada seorang wanita (suspek) yang memaklumkan telah meninggalkan seorang bayi berdekatan kawasan berkenaan.

Wanita itu juga telah meninggalkan nombor telefon setelah dipujuk oleh pihak JKM," katanya ketika dihubungi pemberita hari ini.

Wari berkata selepas menerima panggilan itu, JKM Perlis telah bergegas ke lokasi terlibat dan menemui seorang bayi masih bertali pusat yang dibalut dengan plastik hitam.

Beliau berkata pegawai Kementerian Kesihatan (KKM) turut ke lokasi berkenaan dan membawa bayi tersebut ke Hospital Tuanku Fauziah (HTF) Kangar bagi mendapatkan rawatan susulan.

"Bayi itu dilaporkan kini berada dalam keadaan sihat dan stabil," katanya.

Katanya kes itu disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan membabitkan kesalahan menyembunyikan kelahiran dengan niat membuang bayi.

--BERNAMA