JITRA: Seorang penuntut institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan mengedar lebih 14 kilogram (kg) ganja di Bukit Kayu Hitam, baru-baru ini.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada Ishvherr Singh, 25, yang berasal dari Petaling Jaya, Selangor, selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Nor Syaliati Mohd Sobri.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa mengedar dadah jenis kanabis seberat 14,630.76 gram di sekatan jalan raya Check Point (F), Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam menghala laluan masuk ke Malaysia dari arah Thailand, pada 11.46 pagi 15 Jun lepas.
Dia didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama.
Jika sabit kesalahan, tertuduh berdepan hukuman mati atau penjara seumur hidup atau penjara tidak kurang 30 tahun dan jika tidak dihukum mati, dikenakan tidak kurang 12 sebatan.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Siasatan/Perundangan Inspektor Nur Sharifah Nurlin Atiqah Wan Idrus manakala tertuduh diwakili peguam Datuk Naran Singh.
Mahkamah menetapkan 5 Okt depan sebagai tarikh sebutan semula kes bagi serahan laporan kimia dan tiada jaminan ditawarkan kepada tertuduh.
-- BERNAMA