ISTANBUL: Kementerian Luar China pada Isnin mengesahkan bahawa Presiden Xi Jinping akan mengadakan sidang kemuncak tiga pihak bersama rakan sejawatnya dari Amerika Syarikat (AS) dan Rusia pada minggu ini, lapor Anadolu Ajansi.
Xi, Presiden Rusia Vladimir Putin dan Presiden AS Donald Trump akan bertemu di Shenzhen pada Khamis di luar Mesyuarat Pemimpin Ekonomi Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) ke-33, menurut jurucakap Kementerian Luar China.
Kementerian itu tidak segera mendedahkan isu yang akan dibincangkan oleh ketiga-tiga pemimpin berkenaan.
Jurucakap Kremlin Dmitry Peskov pada Sabtu mengesahkan bahawa sidang kemuncak tiga pihak itu akan berlangsung pada Khamis.
Rumah Putih turut mengesahkan pertemuan berkenaan pada Jumaat.
"Antara topik yang akan dibincangkan beliau ialah pengurangan jumlah senjata nuklear di dunia, yang pertambahannya dianggap sangat berbahaya oleh Presiden Trump," kata Penolong Setiausaha Akhbar Olivia Wales kepada wartawan menerusi panggilan telefon.
Wales berkata Trump juga akan mengadakan pertemuan dua hala dan makan tengah hari bersama Xi sambil membincangkan urusan rasmi pada petang Khamis sebelum mengakhiri lawatannya ke China dengan sidang kemuncak tiga pihak itu.
Mesyuarat APEC dijadual berlangsung pada 18 hingga 19 Nov.
Pembantu Kremlin Yury Ushakov pada bulan lepas berkata bahawa Rusia dan AS belum mencapai persetujuan untuk mengadakan pertemuan dua hala berasingan antara Putin dan Trump di luar mesyuarat berkenaan.
-- BERNAMA-ANADOLU