Ringkasan AI
- Kerajaan Negeri Terengganu membentangkan Belanjawan 2027 dengan peruntukan RM1.983 bilion untuk perbelanjaan mengurus dan RM450 juta kepada Kumpulan Wang Pembangunan.
- Fokus utama belanjawan ialah sektor sosial, ekonomi dan pentadbiran, serta usaha memperkukuh hasil negeri dan prestasi syarikat berkaitan kerajaan.
- Inisiatif termasuk pembangunan berorientasikan transit di sekitar stesen ECRL, Bantuan Khairat Kematian, dan penganjuran Sukan Terengganu (SUTERA) di lapan daerah.
KUALA TERENGGANU: Kerajaan Negeri Terengganu hari ini membentangkan Belanjawan 2027 yang memperuntukkan RM1.983 bilion untuk perbelanjaan mengurus, termasuk caruman kepada Kumpulan Wang Pembangunan sebanyak RM450 juta.
Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar ketika membentangkan belanjawan bertemakan “Melakar Bahagia, Memacu Sejahtera” itu berkata bagi perbelanjaan pembangunan, sebanyak RM346 juta atau 77 peratus diperuntukkan kepada sektor sosial, RM82 juta (18 peratus) kepada sektor ekonomi manakala RM22 juta (lima peratus) kepada sektor pentadbiran bagi menyokong agenda pembangunan negeri.
“Di samping terimaan bukan hasil yang dianggarkan berjumlah RM1.726 bilion, kerajaan negeri turut memberi tumpuan kepada peningkatan hasil janaan negeri, kepada RM361.06 juta merangkumi RM86.3 juta daripada hasil cukai dan RM274.76 juta daripada hasil bukan cukai, menjadikan keseluruhan surplus (lebihan) sebanyak lima peratus dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM2.088 bilion,” katanya.
Ahmad Samsuri berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan 2027 pada persidangan Dewan Undangan Negeri di Wisma Darul Iman, di sini.
Beliau berkata bagi memperkukuh kedudukan fiskal negeri, pihaknya berpendirian untuk tidak lagi bergantung dengan pendekatan kewangan sedia ada untuk pembangunan negeri, sebaliknya meneroka sumber baharu.
Selain itu, katanya, kerajaan negeri akan mempergiat usaha menambah baik prestasi syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan badan berkanun negeri khususnya yang masih berdepan dengan cabaran kewangan melalui kecekapan operasi, memperkukuh tadbir urus dan meningkatkan daya saing.
Dalam pada itu, Ahmad Samsuri berkata kerajaan negeri melalui Unit Perancangan Ekonomi Negeri (UPEN) bersama beberapa agensi, syarikat GLC dan pihak berkuasa tempatan (PBT) akan memberi perhatian kepada pembangunan berorientasikan transit (TOD) di sekitar enam stesen Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di Terengganu secara lebih menyeluruh.
“UPEN sebagai penyelaras utama bersama beberapa agensi, GLC dan PBT perlu bersinergi usaha dan tindakan dalam usaha menarik pelaburan, mempercepat pembangunan kawasan komersial dan industri serta memastikan potensi ekonomi di sekitar setiap stesen dapat dimanfaatkan sepenuhnya,” katanya.
Pada pembentangan hari ini, Ahmad Samsuri turut mengumumkan inisiatif Bantuan Khairat Kematian sebagai sokongan segera kepada waris yang terkesan.
Bagi memperkukuh pembangunan sukan negeri, penganjuran Sukan Terengganu (SUTERA) akan diteruskan di kesemua lapan daerah bagi mencungkil bakat baharu dalam bidang tersebut.
-- BERNAMA