KUALA LUMPUR: Kalangan rakyat Malaysia yang menuntut di luar negara, terlebih bayar kira-kira RM69.9 juta dalam bentuk jumlah fi pindahan wang setiap tahun, demikian menurut kajian terbaharu oleh Wise.

Bersandarkan fakta hampir 60,000 rakyat Malaysia menuntut di luar negara, jumlah terbabit mewakili kerugian purata sebanyak RM1,183 setahun bagi setiap penuntut yang melibatkan fi berkaitan penghantaran wang, katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Kajian oleh syarikat teknologi global itu turut menyenaraikan 10 destinasi pengajian tinggi paling mahal di luar negara, sama ada dari segi kos tuisyen serta kehilangan wang akibat fi tersembunyi.

Wise yang juga firma teknologi kewangan tukaran asing, turut mendapati bahawa penuntut antarabangsa di peringkat global telah terlebih bayar kira-kira RM5.3 bilion setiap tahun bagi fi penghantaran apabila membuat transaksi pindahan wang rentas sempadan.

Penuntut Malaysia membelanjakan sebahagian besar wang bagi pendidikan di Amerika Syarikat (AS) dengan purata RM130,470 dibelanjakan setahun - angka jauh lebih tinggi daripada purata global, kata Wise yang memetik data dalamannya.

Australia dan United Kingdom yang berada dalam kelompok lima destinasi pengajian tinggi utama untuk penuntut Malaysia, juga merupakan negara mahal bagi tujuan pengajian dengan purata kos tahunan antara RM65,665 hingga RM77,221 setahun.

"Singapura, destinasi antarabangsa paling hampir yang ditinjau, terbukti paling mahal dari segi fi tukaran asing dengan penuntut kerugian purata RM3,719 setiap tahun," katanya.

Ini diikuti oleh Kanada sebanyak RM1,336 manakala New Zealand (RM1,333), dan AS (RM1,318).

Pengurus Negara Wise bagi Malaysia, Lim Paik Wan turut berkongsi antara cara mudah untuk penuntut berjimat serta pengurusan kewangan secara bijak, termasuk sentiasa memberi perhatian terhadap fi tersembunyi.

"Perkara pertama yang perlu diteliti apabila membuat pindahan wang di peringkat antarabangsa adalah jumlah kos, termasuk fi pendahuluan serta kadar tukaran asing.

"Fi pendahuluan itu berkemungkinan diiklankan sebagai rendah, malah ada yang percuma, tetapi awas kerana ini sebaliknya mungkin tidak memaparkan jumlah kos sebenar.

"Aspek fi tersembunyi ini boleh melibatkan kadar tukaran asing itu yang mana (ada kalangan) penyedia perkhidmatan yang cenderung untuk memasukkan jumlah tidak didedahkan berbanding menggunakan kadar tukaran di pasaran pertengahan," katanya.

Lim juga menasihatkan agar sentiasa mengutamakan tawaran manfaat tawaran untuk penuntut sahaja serta program kesetiaan.

"Jadikan tabiat untuk sentiasa peka dengan tawaran menarik khusus untuk penuntut yang boleh memberi penjimatan besar dalam jangka panjang, tidak kiralah sama ada di kedai kopi di kampus serta premis menjual barangan keperluan, panggung wayang serta pas transit," katanya.

-- BERNAMA