KUALA LUMPUR: Penurunan harga runcit telur ayam gred A, B, dan C sebanyak 3 sen sebiji berkuat kuasa hari ini memberi kelegaan kepada golongan peniaga terutamanya yang melakukan perniagaan kecil-kecilan selain turut disambut baik pengguna di seluruh negara.
Rata-rata peniaga makanan menyifatkan harga baharu telur dapat membantu mengurangkan kos perniagaan mereka memandangkan telur banyak digunakan dalam pelbagai masakan selain menjadi bahan utama pembuatan kuih dan pastri.
Pengerusi Persatuan Peniaga-Peniaga Kecil Bumiputera Pasar Siti Khadijah di Kelantan, Ahmad Nazri Che Omar berkata inisiatif itu memberi peluang kepada peniaga khususnya penjual makanan meraih sedikit keuntungan, memandangkan masih ada yang menjual kuih pada harga lama, walaupun berlaku kenaikan harga telur sebelum ini.
"Penurunan harga bekalan ini memberi peniaga terlibat peluang mendapat keuntungan lebih dan dapat mengimbangi harga bahan mentah lain yang digunakan untuk berniaga," katanya kepada Bernama hari ini.
Di Negeri Sembilan, peniaga biskut dan kek Nur Anisa Hanis Ramli, 42, berkata walaupun ada yang melihat penurunan harga itu hanya sedikit, namun kesannya amat dirasai oleh mereka yang mengambil tempahan produk menggunakan telur sebagai bahan utama.
"Sebagai contoh, saya yang menjadikan pekerjaan itu sebagai mata pencarian memerlukan lebih 60 biji telur setiap dua minggu... jadi penurunan harga sebanyak 3 sen sebiji ini memang membantu mengurangkan kos saya," katanya.
Sementara itu, di Kedah, peniaga makanan Ashraf Zaidi, 33, berkata penurunan harga itu dapat mengurangkan kos perniagaannya dan turut memberi manfaat kepada pelanggan memandangkan harga makanan berasaskan telur dapat diturunkan sedikit selepas ini.
Di Selangor, pembuat kek dan pastri Intan Baizura Zainal, 39, berkata langkah itu dapat mengurangkan tekanan kewangan kepada pengusaha bakeri kerana kebanyakan barangan membuat kuih dan kek ketika ini semakin meningkat.
"Keputusan menurunkan harga telur tepat pada masa kerana walaupun mahu untung, kami tetap perlu berikan harga berpatutan kepada pelanggan. Ini mungkin permulaan kepada usaha kerajaan menurunkan harga barangan keperluan lain, selaras dengan hasrat mengembalikan hasil penjimatan penyasaran subsidi kepada rakyat secara berperingkat," katanya.
Senada ialah peniaga kek kecil-kecilan dari Alor Gajah, Melaka, Nur Syakirah Ahmad Nazri, 26, yang juga berharap kerajaan akan terus memberi 'khabar gembira' melibatkan barangan lain pada masa akan datang yang secara tidak langsung membantu golongan sepertinya memperoleh pendapatan lebih baik.
Di Terengganu, pengusaha kantin Ahmad Khairi Samad, 52, berkata ia akan mengurangkan beban kos operasinya yang secara purata memerlukan kira-kira 100 biji telur gred B sehari kerana selain masakan sedia dimasak, kantinnya turut menyediakan masakan panas.
Sementara itu, di Pulau Pinang, Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) Mohideen Abdul Kader berkata penurunan harga runcit telur akan membantu mengurangkan masalah kewangan kepada golongan berpendapatan rendah khususnya yang membeli dalam kuantiti banyak untuk tempoh seminggu.
"Langkah ini juga akan membantu peniaga dan penjual makanan kerana mereka boleh menurunkan kos dan CAP berharap peniaga yang banyak menggunakan telur tidak akan menaikkan harga makanan mereka selepas ini," katanya.
Di Perak, Ahli Gerakan Pengguna Negeri Perak Khairul Anwar El Syazalli Musa berkata penurunan harga itu memanfaatkan rakyat kerana pembeli lazimnya membeli telur dalam kuantiti lebih daripada sebiji, selain pembungkusannya biasanya adalah sebanyak 10 biji.
Sementara itu, di Pahang, ibu tunggal Mariam Abdul Ghani, 48, menyifatkan langkah itu membantu mereka yang kurang berkemampuan kerana telur merupakan sumber protein yang lebih murah untuk dijadikan sebagai keperluan harian keluarga.
Senada ialah suri rumah Rizalina Mad Saad, 46, dari Arau, Perlis yang menyifatkan langkah itu sebagai peka terhadap situasi rakyat terutamanya golongan B40 memandangkan telur lazimnya menjadi keperluan asas di dapur setiap rumah.
Hari ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan mengumumkan harga runcit telur ayam gred A, B dan C di seluruh negara diturunkan 3 sen sebiji menjadikan harganya masing-masing turun kepada 42 sen, 40 sen dan 38 sen sebiji berkuat kuasa hari ini
-- BERNAMA
Bernama
Mon Jun 17 2024
Penurunan harga runcit telur ayam memberi peluang kepada peniaga khususnya penjual makanan meraih sedikit keuntungan. - Gambar fail
Protes diteruskan hingga Suk Yeol dipecat
Para penunjuk perasaan kekal mengadakan protes di bandar Seoul agar Presiden Yoon Suk Yeol dipecat daripada jawatannya.
Cubaan serbu pejabat Presiden Yoon Suk Yeol gagal
Menurut media tempatan, pihak polis tidak dapat memasuki bangunan utama kerana gagal mencapai persetujuan dengan pihak perkhidmatan rahsia mengenai kaedah penggeledahan dan penyitaan.
Bekas Menteri Pertahanan Korea cuba bunuh diri
Menurut Ketua Pesuruhajaya Perkhidmatan Korea, Shin Yong Hae pada Rabu, Kim kini sedang menerima rawatan susulan dan berada dalam keadaan stabil.
Seorang menteri Afghanistan terbunuh dalam letupan
Seorang menteri utama dalam pentadbiran sementara Taliban Afghanistan terbunuh pada Rabu dalam letupan di ibu negara Kabul.
PBB akan undi gencatan senjata segera dilaksanakan
Resolusi itu juga menuntut pembebasan semua tebusan dan akses tanpa halangan untuk bantuan kemanusiaan kepada Gaza.
Fenomena La Nina berkembang lebih 50 peratus hingga Feb 2025
Kemungkinan lebih 50 peratus fenomena La Nina dilaporkan akan berkembang dalam tempoh tiga bulan mendatang.
127 terbunuh dalam dua hari di Sudan
Terbaharu pada Selasa, kumpulan hak asasi manusia, Emergency Lawyers memaklumkan sekurang-kurangnya 20 termasuk 14 orang yang menaiki bas terbunuh di Omdurman, Sudan.
Suspek bunuh CEO bakal mohon esktradisi
Menurut peguam Luigi Mangiyone, Thomas Dickey, pihaknya akan melakukan permohonan itu mengikut peraturan undang-undang perlembagaan.
[TERKINI] Harimau Malaya raih tiga mata berharga, tewaskan Timor Leste
Skuad Harimau Malaya mencatatkan kemenangan pertama kumpulan A dalam saingan Piala ASEAN 2024 selepas menewaskan Timor Leste 3-2.
Astro sambung hak eksklusif EPL hingga 2027/28
Selain siaran langsung, Astro turut akan menerbitkan kandungan istimewa seperti wawancara eksklusif dan siri "From KL to PL" yang akan ditayangkan pada Januari 2025.
Penurunan harga telur: Peniaga lega, bantu kurangkan kos operasi
Penurunan harga runcit telur ayam memberi peluang kepada peniaga khususnya penjual makanan meraih sedikit keuntungan.
Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi beri kesan positif - Mustapa
Penubuhan Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi dilihat memberi kesan positif terutamanya membabitkan penurunan harga barangan kawalan di pasaran.
Turun harga pelitup muka bukan dibuat secara mengejut - Menteri KPDNHEP
Keputusan kerajaan menurunkan harga siling bagi pelitup muka pada kadar RM1 seunit daripada RM1.20 bukan dibuat secara mengejut.