KUCHING: Kementerian Kesihatan (KKM) akan meneliti semua permintaan Sarawak berkaitan penurunan kuasa dalam bidang kesihatan, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Beliau berkata beberapa syor serta cadangan tentang perkara itu telah disampaikan Timbalan Premier Sarawak yang juga Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri Datuk Amar Dr Sim Kui Hian kepadanya dalam satu mesyuarat yang diadakan di sini, hari ini.

Menurut Dzulkefly permintaan itu termasuk berkaitan infrastruktur, pentadbiran, sumber manusia serta perjawatan dalam bidang kesihatan.

"Kami (KKM) akan teliti permintaan mereka (Sarawak) dan ini akan disusuli dengan penubuhan jawatankuasa-jawatankuasa kerja kecil yang akan melihat dan memperincikan lagi permintaan tersebut.

"Menurut saya, permintaan mereka ini munasabah," katanya kepada pemberita selepas melawat tapak projek Hospital Petra Jaya di sini.

Sementara itu, Dzulkefly yang turut mengadakan kunjungan hormat terhadap Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg hari ini berkata kerajaan Sarawak juga memohon agar pembinaan Pusat Kanser Sarawak dapat dilaksanakan segera.

"Kita tidak lagi boleh melengahkan pembinaan Pusat Kanser ini yang sangat diperlukan (di Sarawak). Saya akan memaklumkan semua permintaan Sarawak kepada Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim)," katanya.

Pada 7 Jan lepas, Dr Sim berkata satu mesyuarat antara KKM dan Kementerian Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak akan diadakan minggu ini bagi membincangkan dengan lanjut permintaan negeri itu untuk mendapatkan autonomi dalam bidang kesihatan.

Menurut Dr Sim, Sarawak mahukan autonomi dalam sektor kesihatan untuk memastikan perkhidmatan kesihatan di negeri ini mencapai tahap terbaik.

Dr Sim berkata Sarawak memerlukan lebih banyak kemudahan kesihatan seperti pusat rawatan jantung di Sibu dan Miri berikutan saiz negeri ini yang besar dan perjalanan yang memakan masa.

-- BERNAMA