Penutupan jalan semasa Sidang Kemuncak ASEAN bukan 24 jam, dibuat berperingkat - Fahmi

Menteri Komunikasi merangkap jurucakap Kerajaan Perpaduan Datuk Fahmi Fadzil ketika sidang media mingguan Kabinet di Menara Komunikasi hari ini. - Foto BERNAMA
PUTRAJAYA: Penutupan jalan bersempena dengan Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 bersifat sementara dan berperingkat, bukannya penutupan penuh 24 jam atau lockdown, kata Jurucakap Kerajaan MADANI Datuk Fahmi Fadzil.
Ringkasan AI
- Jurucakap Kerajaan MADANI merangkap Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil menjelaskan penutupan jalan sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 hanya bersifat sementara dan berperingkat, bukan sekatan penuh 24 jam.
- Beliau menasihati orang ramai merancang perjalanan susulan beberapa lebuh raya dan 25 jalan utama di Lembah Klang akan ditutup sementara dari 26 hingga 28 Oktober bagi laluan pemimpin dunia.
- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim merakam penghargaan kepada agensi penguat kuasa yang berjaya memulihkan kira-kira RM15.5 bilion dana negara melalui tindakan antirasuah dan antipenyeludupan.
"(Apabila) laluan itu selesai digunakan, maka jalan akan dibuka semula, (penutupan) bukan 24 jam dan bukan lockdown," katanya pada sidang media mingguan di sini hari ini.
Sehubungan dengan itu, beliau menasihati orang ramai untuk merancang perjalanan lebih awal dan mengikuti makluman trafik rasmi demi kelancaran perjalanan sepanjang acara berlangsung.
Semalam, media melaporkan enam lebuh raya dan 25 jalan utama di sekitar Lembah Klang akan dilencongkan secara berperingkat bersempena dengan Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 yang dijadualkan berlangsung dari 26 hingga 28 Okt ini.
Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata laluan berkenaan termasuk Lebuhraya Utara-Selatan Hubungan Tengah (ELITE), Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE), Lebuhraya GUTHRIE, Lebuhraya Utara-Selatan, Lebuhraya MEX dan Lebuhraya KL-Seremban.
Jalan lain yang terlibat ialah Lebuh KLIA, Lingkaran Putrajaya, dan beberapa jalan utama di pusat bandar termasuk Jalan Istana, Jalan Damansara, Jalan Tun Abdul Razak, Jalan Ampang, Jalan Sultan Ismail, Jalan Bukit Bintang, Jalan Parlimen dan Jalan Kuching.
Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan sidang berkaitan yang akan berlangsung dari 26 hingga 28 Okt ini merupakan kemuncak kepada Kepengerusian ASEAN oleh Malaysia pada 2025 yang membawa tema "Keterangkuman dan Kemampanan".
Presiden Amerika Syarikat Donald Trump, Perdana Menteri China Li Qiang, Presiden Brazil Luiz Inacio Lula da Silva dan Presiden Afrika Selatan Cyril Ramaphosa antara pemimpin dunia yang dijangka hadir ke sidang kemuncak itu.
Selain itu, Fahmi berkata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim merakamkan penghargaan kepada badan penguat kuasa kerana melaksanakan perang terhadap pelaku rasuah dan kartel penyeludupan sehingga berjaya mengembalikan dana negara berjumlah kira-kira RM15.5 bilion dalam tempoh dua tahun.
Badan penguat kuasa itu termasuk Polis Diraja Malaysia, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS).
"Perdana Menteri telah menyatakan perhargaan ini untuk direkodkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri.
"Hal ini membuktikan bahawa dengan tindakan penguatkuasaan oleh agensi-agensi yang lebih tegas, dapat membantu mengurangkan ketirisan dan perlakuan jenayah yang akan merugikan negara," katanya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami