Skip to main content

Malaysia

Penutupan Selat Hormuz boleh jejas harga tenaga negara - Menteri Ekonomi

Sumber: MPRC
Akmal Nasrullah (tengah) merasmikan Forum CEO OGSE100 Tahun Ke-3 2026 di ibu negara hari ini. - Gambar ihsan MPRC

KUALA LUMPUR: Penutupan atau sekatan di Selat Hormuz berpotensi memberi kesan besar kepada pasaran tenaga global serta meningkatkan kos import tenaga Malaysia.

Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, sebarang gangguan walaupun bersifat sementara boleh mengetatkan bekalan minyak mentah serta gas asli cecair (LNG) di pasaran antarabangsa.

Advertisement

Ujar beliau, ketegangan terkini di Asia Barat, khususnya tindakan ketenteraan Amerika Syarikat (AS)-Israel terhadap Iran, telah mencetuskan ketidaktentuan yang lebih tinggi dalam pasaran minyak dan gas global.

“Sekiranya berlaku penutupan atau sekatan di Selat Hormuz, kita boleh menjangkakan lonjakan harga minyak mentah dan LNG global, sekali gus meningkatkan premium risiko bagi negara pengimport tenaga seperti Malaysia,” katanya ketika berucap pada Forum CEO OGSE100 Tahun Ke-3 2026 di sini, hari ini.

Hadir sama Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Petroleum Resources Corporation (MPRC), Mohd Yazid Jaafar.

Beliau menegaskan, kerajaan akan terus memantau perkembangan geopolitik semasa dan kesannya terhadap rantaian bekalan tenaga global.

Dalam masa sama, Akmal Nasrullah berkatal, kerajaan juga akan memastikan langkah mitigasi yang bersesuaian dilaksanakan bagi melindungi kepentingan ekonomi negara.

“Kita perlu bersedia menghadapi sebarang ketidaktentuan global dan memperkukuh daya tahan sektor tenaga serta ekonomi negara secara keseluruhan,” ujar beliau lagi.

Mengulas lanjut, beliau berkata, peningkatan kos import tenaga boleh memberi implikasi kepada kos operasi industri, penjanaan elektrik serta perbelanjaan bahan api isi rumah sekiranya situasi berlarutan.

Bagi perniagaan Malaysia dan sektor tenaga elektrik pula, Akmal Nasrullah menjelaskan, keadaan itu mewujudkan ketidaktentuan, terutamanya dari segi kos bahan api, penetapan tarif elektrik serta keselamatan bekalan tenaga secara keseluruhan.

“Oleh itu, adalah penting untuk kita mempelbagaikan sumber tenaga, memperkukuh kapasiti penjanaan domestik serta mempercepatkan pembangunan tenaga boleh diperbaharui dan teknologi peralihan,” katanya.

Dalam pada itu, Akmal Nasrullah berkata, industri Perkhidmatan dan Peralatan Minyak dan Gas (OGSE) Malaysia merekodkan hasil tertinggi sebanyak RM94.5 bilion, seperti dilaporkan dalam laporan OGSE100 bagi tahun 2024.

Beliau berkata, pencapaian memberansangkan itu bukan sahaja mencerminkan daya tahan industri, malah membuktikan syarikat OGSE tempatan berkeupayaan melaksanakan projek berskala besar serta bersaing di peringkat lebih tinggi.

Must Watch Video