GEORGE TOWN: Penutupan separa laluan secara berkala jangka panjang di Lebuh Raya Tun Dr Lim Chong Eu, di sini akan dilaksanakan dari 17 Ogos hingga 17 Nov antara 10 malam hingga 6 pagi, bagi memberi laluan kepada kerja-kerja awalan untuk Projek Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Mutiara.
Malaysia Rapid Transit Corporation Sdn (MRT Corp) dalam kenyataan memaklumkan penutupan itu, akan melibatkan laluan basikal dan motosikal, serta laluan paling kiri di jalan susur masuk bersebelahan kawasan hijau sehingga Restoran Gulai Sembilang, menghala ke Bayan Lepas.
“Namun lorong lain akan kekal dibuka untuk laluan trafik dan penutupan itu diperlukan bagi memberi laluan kepada kerja-kerja awalan bagi Projek LRT Pulau Pinang Laluan Mutiara-Pakej CMC1, yang melibatkan kerja-kerja penyediaan tapak.
“Kerja-kerja yang akan dijalankan sepanjang tempoh 92 hari itu ialah pemindahan dan pemotongan pokok, pemindahan utiliti, kerja pembinaan lencongan jalan dan penyediaan tapak,” menurut kenyataan itu.
Pengguna jalan raya dinasihatkan untuk berhati-hati ketika melalui kawasan itu dan papan tanda, kon-kon trafik serta pengawal bendera akan ditempatkan di lokasi tersebut, untuk membantu melancarkan kawalan trafik dan keselamatan pengguna kenderaan di laluan berkenaan.
-- BERNAMA