PID atau Penyakit Lemah Daya Imun sejak lahir memerlukan rawatan peringkat awal dalam usaha menyembuhkan pesakit dan menyelamatkan nyawa.

Penyakit ini merupakan satu masalah kelainan genetik yang boleh berlaku sejak bayi sehingga dewasa sekiranya tidak mendapatkan rawatan awal.

PID merupakan penyakit yang diwarisi turun-temurun dan boleh hadir dalam pelbagai spektrum bermaksud ia boleh datang secara awal pada peringkat bayi dan boleh membawa maut.

Membawa maut kerana penyakit ini boleh mengakibatkan jangkitan kuman yang teruk sehingga menyebabkan kerosakan organ.

Sejak tahun 1979 sehingga Mac 2020, terdapat 119 pesakit PID telah dilaporkan di Malaysia.

PID boleh datang secara awal pada peringkat bayi dan boleh membawa maut. - Gambar hiasan/Unsplash

Apa simptom utama PID?

Menurut Pakar Pediatrik Imunologi dan Alergi Institut Perubatan dan Pergigian Termaju Universiti Sains Malaysia (USM), Dr Intan Juliana Abd Hamid, simptom utama yang pesakit alami adalah mereka kerap mendapat jangkitan kuman yang berulang.

Jangkitan kuman itu melibatkan kuman yang khusus atau pelik apabila membuat pemeriksaan.

Jangkitan pneumonia lebih daripada beberapa kali dalam setahun.

Alami jangkitan kuman yang sangat teruk sehingga terpaksa dimasukkan ke dalam Unit Rawatan Rapi (ICU) dalam jangka masa yang lama.


Cabaran dan masalah kesan PID?

Kanak-kanak kerap dijangkiti kuman dan disebabkan itu untuk membezakan sama ada mereka dijangkiti kuman biasa atau tidak, agak sukar.

Sistem saringan kesihatan untuk bayi baru lahir sedia ada di Malaysia tidak menjalankan ujian mengesan PID seperti di Amerika Syarikat.

PID masih dianggap penyakit yang ‘jarang-jarang’ berlaku di Malaysia sedangkan ia adalah sebaliknya.

Pesakit tidak didiagnos setepat dan sebaik mungkin, menyebabkan ia lambat dikesan malah dalam banyak situasi, pesakit telah mengalami komplikasi kerosakan organ.

Hanya terdapat empat pakar imunologi bagi bahagian kanak-kanak dan kita tidak mempunyai pakar untuk dewasa dan ini menyebabkan masalah kepada kanak-kanak yang ada PID apabila menginjak dewasa kelak.

Kanak-kanak kerap dijangkiti kuman dan disebabkan itu untuk membezakan sama ada mereka dijangkiti kuman biasa atau tidak, agak sukar. - Gambar hiasan/Unsplash

Cara atasi masalah PID dan Rawatan

- Perlukan kesedaran yang tinggi dalam kalangan petugas kesihatan dan ibu bapa untuk mempunyai 'syak wasangka' yang tinggi jika anak-anak dijangkiti kuman.

- Rujuk kepada pakar pediatrik imunologi dan klinikal imunologi di Malaysia.

- Melaksanakan ujian saringan dan ujian pengesahan awal sejurus selepas bayi dilahirkan.

- Usaha membina ujian saringan dan ujian pengesahan yang lebih khusus dan spesifik sedang dijalankan di Institut Perubatan dan Pergigian Termaju Universiti Sains Malaysia.

- Lakukan ujian saringan dan ujian pengesahan di Institut Perubatan dan Pergigian Termaju Universiti Sains Malaysia (USM) dan Institut Medical of Research (IMR).

- Pembedahan sumsum tulang sebelum berumur tiga bulan, sembilan daripada 10 pesakit ini akan hidup, jika buat selepas daripada umur tiga bulan hanya enam daripada 10 akan hidup.

- Penyakit PID perlu mendapatkan rawatan 'Immunoglobulin Therapy' (menggantikan antibodi ke dalam badan pesakit) setiap tiga minggu sekali dan rawatan ini perlu dilakukan seumur hidup.



** Setiap Sabtu dan Ahad, AstroAwani.com membawakan artikel santai dan merangkumi pelbagai topik menarik seperti pelancongan, pemotoran, gaya hidup, hobi, kekeluargaan, kesihatan, pengetahuan am, trivia dan banyak lagi. Ikuti #SantaiHujungMinggu !