KUALA LUMPUR: Selain jenayah siber, penyalahgunaan bahan psikoaktif baharu (NPS) yang semakin mudah diperoleh melalui internet, turut menimbulkan kebimbangan berikutan kesan serius terhadap pembangunan sosial dan ekonomi.

Isu yang bersifat rentas sempadan ini memerlukan kerjasama kukuh antara agensi penguatkuasaan undang-undang di peringkat global, kata Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay.

"Pertumbuhan pesat teknologi maklumat malangnya telah meningkatkan aktiviti jenayah siber dan penyalahgunaan NPS secara global. Peningkatan penggunaan peranti digital, kaedah penyulitan dan perkhidmatan tanpa nama menimbulkan cabaran teknikal yang kompleks bagi agensi penguatkuasaan undang-undang.

"Sifat jenayah ini yang merentasi sempadan menyukarkan agensi penguatkuasaan undang-undang untuk meneruskan tindakan undang-undang kerana batasan bidang kuasa. Oleh itu, kerjasama antara agensi penguatkuasaan undang-undang pelbagai negara amat penting dalam menangani cabaran ini," katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucap tamanya selepas merasmikan Seminar Jenayah Siber dan Penyalahgunaan Bahan yang dianjurkan bersempena dengan Defence Services Asia (DSA) and National Security (NATSEC) Asia 2024 di sini hari ini.

Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Dadah dan Jenayah (UNOCD), NPS menjadi fenomena global dengan 141 negara dan wilayah dari semua rantau di dunia ini melaporkan satu atau lebih NPS.

Setakat November 2023, sebanyak 1,230 bahan dilaporkan kepada UNODC Early Warning Advisory (EWA) mengenai NPS oleh kerajaan, makmal dan organisasi rakan kongsi.

NPS yang terdapat di pasaran mempunyai kesan sama seperti dengan bahan di bawah kawalan antarabangsa seperti kanabis, kokain, heroin, LSD, MDMA (ekstasi) atau methamphetamine.


INFO:

Dadah NPS (New Psychoactive Substance) merujuk kepada dadah yang belum dikawal di bawah undang-undang sedia ada dan boleh menyebabkan ketagihan serta kesan sampingan yang teruk.

Jenis dadah ini dicipta untuk meniru kesan dadah yang sudah ada dan boleh termasuk dalam kategori stimulan, cannabinoid, depressan, dan halusinogen.

Kesan sampingan dadah NPS boleh jadi lebih berbahaya kerana melibatkan campuran kimia yang kuat dan tidak diketahui jenis serta dosnya.