KUALA LUMPUR: Penyampai ERA daripada segmen 3 Pagi ERA (3PE), Nabil, Radin dan Bella Astillah, serta penyampai Petang ERA iaitu Haziq, Munabella dan Der, turun padang bertemu pendengar dan menghargai jasa tenaga pengajar menerusi program khas bersama Pengurus Jenama ERA, Azah Sahrin.
Menerusi program tersebut, penyampai 3PE mengunjungi Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pendidikan Khas Setapak bagi menghargai pengorbanan guru-guru pendidikan khas yang komited mendidik murid berkeperluan khas.
Sebagai tanda penghargaan, mereka menyampaikan sumbangan berupa tudung dan sarung tangan kepada para guru.
Selain itu, hampir 50 tenaga pengajar turut diraikan menerusi jamuan makanan sebagai tanda terima kasih atas dedikasi dan komitmen mereka dalam bidang pendidikan.
Dalam program sama, penyampai Petang ERA turut menziarahi seorang pendengar cilik, Adik Ariq, di Seremban yang sedang menjalani proses pemulihan selepas mengalami kecederaan akibat kemalangan di rumah.
Menurut maklumat dikongsikan, Ariq terkena sup panas selepas memanjat meja dapur tanpa menyedari makanan tersebut masih panas.
Kejadian itu menyebabkan beliau mengalami kecederaan melecur pada badan, muka, kepala dan tangan.
Akibat kecederaan yang dialami, Ariq terpaksa menerima rawatan di hospital selama hampir 20 hari.
Sepanjang tempoh tersebut, beliau turut diberikan ubat pelali bagi memudahkan proses rawatan termasuk prosedur tampalan kulit.
Kehadiran penyampai ERA bertujuan memberikan semangat dan sokongan kepada Ariq serta keluarganya, selain membawa sedikit keceriaan dalam tempoh yang mencabar itu.
Menurut Azah, program seumpama itu memberi peluang kepada penyampai untuk lebih dekat dengan masyarakat dan memahami pengalaman yang dilalui pendengar.
“Kami selalu berborak dengan pendengar di radio, tetapi apabila dapat bertemu mereka secara bersemuka, ia terasa lebih dekat dan bermakna. Kami bukan sahaja mendengar cerita mereka, malah dapat memahami sendiri apa yang mereka lalui,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada guru-guru pendidikan khas yang disifatkan sebagai individu yang sabar, penyayang dan komited dalam mendidik murid berkeperluan khas.
Mengulas keadaan Ariq, Azah berkata kisah kanak-kanak itu amat menyentuh hati mereka dan berharap kehadiran mereka dapat memberikan semangat kepada Ariq dan keluarganya untuk terus tabah menghadapi dugaan.
“Kami mahu Ariq tahu bahawa dia tidak keseorangan. Kami mendoakan agar dia cepat sembuh dan terus kuat menghadapi proses pemulihan,” tambahnya.
Azah turut berharap lebih ramai masyarakat tampil membantu golongan yang memerlukan serta terus menyemai nilai keprihatinan dalam komuniti.
Inisiatif berkenaan mencerminkan usaha ERA untuk terus mendekati masyarakat sambil menyebarkan nilai kasih sayang dan keprihatinan.
ERA merupakan sebahagian daripada 13 rangkaian di bawah Astro Audio. Sebagai stesen radio berbahasa Melayu, ERA menampilkan lagu-lagu popular dan hit semasa serta kekal menjadi pilihan utama pendengar di Malaysia.