KUALA LUMPUR: Penyanyi veteran, Datuk Hail Amir, 76 dilaporkan meninggal dunia di Hospital Kuala Lumpur di ibu negara pada jam 3.40 petang, Isnin selepas mengalami komplikasi paru-paru. 

Setiausaha Agung Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), Hafiz Nafiah mengesahkan berita pemergian penghibur yang sinomin dengan lagu, Wajah Kesayangan Hamba itu dilaporkan dimasukkan ke HKL pada Sabtu selepas mengalami batuk berterusan. 

"Seniman sedang mendapatkan maklumat terbaharu tentang pemergian Allahyarham," kata Hafiz ketika dihubungi Astro AWANI, pada Isnin.

Hail atau nama sebenar, Abdul Hail Amir pernah dimasukkan ke hospital pada 2018 selepas mengadu sakit dada dan dimasukkan dalam wad akibat masalah jantung. 

Rakan seperjuangan Allahyarham, Datuk DJ Dave ketika dihubungi Astro AWANI berkata, beliau sempat menziarahi sahabat baiknya itu di hospital pada Ahad.

 
[TERKINI] Penyanyi veteran Hail Amir meninggal dunia

"Allahyarham masih mengenali saya. Kami berdua berbual tentang perjalanan seni kami dan Allahyarham masih ingat apa yang kami lalui sebagai anak seni," kata DJ Dave, yang merupakan Pengerusi Yayasan Kebajikan Artis Tanah Air (YKAT). 

Ketika artikel ini diterbitkan, Astro AWANI difahamkan jenazah Allahyarham akan dibawa ke Masjid Ukay Perdana, Ampang untuk disembahyangkan sebelum majlis pengebumian disempurnakan. 
}
Sepanjang pembabitannya dalam dunia seni, Hail, sinonim sebagai pasangan duet kepada penyanyi bersuara lunak, Uji Rashid.

Lagu popular mereka seperti Menunggu Nasi Minyak, Antara Matamu dan Mataku termasuk lagu raya, Seloka Hari Raya menjadi siulan ramai hingga hari ini.

Selain menyanyi, bapa kepada empat cahaya mata ini terkenal di layar perak.

Antara filem popular lakonannya adalah Menanti Hari Esok, Sesejuk Air Mata Ibu dan Anita Dunia Ajaib.

Allahyarham dikurniakan Darjah Kebesaran Panglima Mahkota Wilayah (PMW) membawa gelaran Datuk oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Wilayah Persekutuan 2022 di Istana Negara di ibu negara pada 2022.