KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dengan kerjasama penyedia perkhidmatan akan menyegerakan infrastruktur digital di kawasan-kawasan luar bandar dan pedalaman melalui program Pemberian Perkhidmatan Sejagat (USP) dalam usaha menangani isu akses kepada Internet berkualiti di kawasan terbabit.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Zahidi Zainul Abidin berkata sehingga 30 November lepas, sebanyak 2,481 stesen pemancar daripada 5,394 stesen telah siap dinaik taraf kepada teknologi 4G di seluruh negara melalui program USP.

Beliau berkata melalui kaedah penyumbang utama, 362 menara baharu akan dibina menjelang penghujung 2022 yang akan meningkatkan kadar liputan 4G di kawasan berpenduduk di seluruh negara.

"Di samping itu, 1,661 menara baharu akan dilaksana secara kaedah tender terbuka di kawasan-kawasan luar bandar dan pedalaman di seluruh negara melalui pelantikan Penyedia Perkhidmatan Sejagat yang Dilantik," katanya dalam sesi soal jawab pada persidangan Dewan Negara hari ini.

Beliau menjawab soalan Senator Aknan Ehtook mengenai langkah diambil Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) bagi memastikan syarikat-syarikat telekomunikasi menyegerakan tindakan seperti pembinaan menara telekomunikasi di kawasan luar bandar agar capaian Internet lebih meluas dan jelas.

Zahidi berkata, di kawasan pedalaman di Sabah dan Sarawak serta perkampungan Orang Asli pula, perkhidmatan jalur lebar melalui penyediaan menggunakan teknologi satelit di 839 lokasi sedang dilaksanakan dan akan siap pada awal tahun depan.

Menurutnya, 308 lokasi telah siap dipasang jalur lebar satelit di seluruh negara setakat 30 November lepas.

Beliau berkata pemberi perkhidmatan yang dilantik perlu mematuhi rancangan perkhidmatan sejagat yang telah diluluskan serta mengikut terma dan syarat dalam Notis Pemberitahuan Penamaan (NoA) dan dilaksanakan mengikut tempoh ditetapkan.

"Kegagalan pihak pemberi perkhidmatan mematuhi terma dan syarat dalam NoA membolehkan pihak SKMM mengambil tindakan kawal selia seperti memulakan siasatan First Information Report (FIR) atas ketidakpatuhan terhadap Peraturan-Peraturan Komunikasi dan Multimedia (Pemberian Perkhidmatan Sejagat) 2002 dan mengenakan penalti Liquidated Damages," katanya.

Menjawab soalan tambahan Aknan berhubung tindakan KKMM untuk memastikan isyarat bagi setiap syarikat telekomunikasi sama kualitinya di setiap tempat, Zahidi berkata masalah gangguan liputan di sesetengah kawasan disebabkan syarikat telekomunikasi tidak memasang pemancar talian Internet mereka kerana tidak menguntungkan berikutan jumlah pengguna yang kurang di kawasan terbabit.

Dalam pada itu, beliau berkata terdapat beberapa permohonan daripada syarikat luar untuk memasang satelit ke seluruh negara.

-- BERNAMA