Sekumpulan penyelam tempatan yang mencari kuda laut dan gamat untuk tujuan kajian berhampiran Pulau Berhala, Rompin 28 September lalu, menemukan sebuah kapal karam dipercayai kapal perang milik Jepun yang mempunyai beberapa artifak bersejarah.

Ia dipercayai kapal Gyosin Maru yang dibina di Pelabuhan Hitachi, yang telah dilaporkan tenggelam pada Disember 1944 di perairan berkenaan ketika dalam perjalanan ke Vietnam.

Sekumpulan penyelam dakwa temui bangkai kapal perang Jepun di perairan Rompin. - Foto Bernama

Menurut seorang penyelam Fazry Erwan Kamaruddin, 29, kapal berkenaan ditemukan dalam keadaan terbahagi dua dengan bahagian dek kapal berada pada kedalaman 21 meter, manakala sebahagian lagi berada di aras 23 meter.

"Ketika itu saya bersama 12 lagi penyelam lain termasuk anggota Jabatan Perikanan sedang mencari kuda laut dan gamat namun ketika menyelam agak jauh daripada kumpulan itu, saya terkejut apabila terjumpa bahagian depan kapal perang itu yang telah diselaputi karang.

"Saya kemudian memanggil rakan-rakan yang lain untuk melakukan pencarian dan sebaik memasuki bahagian dalam kapal itu kami menemukan banyak senjata, kelongsong peluru meriam serta botol sake (arak Jepun) yang berterabur," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Antara barangan yang dibawa naik sebagai pembuktian penemuan. - Foto Bernama

Katanya, hasil pencarian lanjut, mereka turut menemukan sebahagian lagi kapal itu pada jarak 40 meter daripada bahagian dek dan kali ini ia berada lebih dalam iaitu 23 meter bawah paras laut.

Bagaimanapun di bahagian kedua kapal ini, beliau tidak menemukan sebarang barangan kerana kesemuanya hampir diliputi dengan batu karang dan rumpai air.

Fazry Erwan yang mempunyai pengalaman menyelam sejak usia belasan tahun lagi berkata, mereka turut mengambil beberapa kelongsong peluru dan botol sake bagi membuktikan penemuan tersebut.

"Kesemua barang tersebut telah diserahkan kepada anggota Jabatan Perikanan untuk tindakan lanjut dan kami yakin ia merupakan kapal perang Jepun berdasarkan penemuan botol sake di dalam bangkai kapal berkenaan," katanya.

Sebelum ini, katanya beliau sering mendengar cerita penduduk tempatan yang mengatakan banyak kapal perang Jepun karam di sekitar perairan Rompin semasa zaman perang dunia kedua, namun lokasi sebenar tidak diketahui, sehinggalah penemuan kapal itu pada 28 September lalu. - BERNAMA