KUALA LUMPUR: Kemarahan Tan Sri Noh Omar berhubung cadangan pelantikan Penyelaras Parlimen di Tanjong Karang oleh Perikatan Nasional (PN), disifatkan dangkal dan membabi buta.

Setiausaha Badan Perhubungan Perikatan Nasional Selangor, Muhammad Hilman Idham menegaskan, tindakan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor itu perlu difahami dari segi analogi selain untuk memperkukuh PN sendiri.

"Mungkin Noh beranggapan bahawa perbincangan yang sedang dilaksanakan oleh parti-parti anggota adalah untuk melantik Penyelaras Parlimen (Kerajaan).

"Walhal, perbincangan kita adalah untuk memperkukuh PN di peringkat akar umbi melalui pelantikan seorang Penyelaras Parlimen di setiap Parlimen sebagaimana termaktub dalam Fasal 22, Perlembagaan Perikatan Nasional," katanya ketika dihubungi pada Rabu.

Sebelum ini, Noh yang juga Ahli Parlimen Tanjong Karang memberi amaran tegas termasuk menarik sokongan kepada kerajaan PN sekiranya terdapat usaha melantik seorang penyelaras di kerusi Parlimen yang dimenangi beliau pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu.

Noh berkata, sekiranya Pengerusi PN Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali masih bertegas untuk melantik penyelaras Parlimen, ia bermakna pemimpin itu tidak mengiktiraf beliau sebagai ahli Parlimen yang menyokong kerajaan PN.

Dalam pada itu, Hilman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gombak Setia memberitahu, Penyelaras Parlimen yang akan dilantik adalah seperti Ketua Bahagian yang merupakan ketua kepada semua parti-parti anggota.

Fasal 22, Perlembagaan PN menyebut, Jawatankuasa Penyelaras Parlimen hendaklah mengandungi tiga wakil rakyat dari tiap-tiap parti anggota, seorang wakil wanita mewakili kesemua Jawatankuasa Wanita dari setiap parti anggota yang dilantik oleh Jawatankuasa Wanita Parti PN peringkat Parlimen.

Sementara seorang wakil Pemuda bagi mewakili kesemua Jawatankuasa Pemuda Parti PN peringkat Parlimen, Ahli Parlimen dan ADUN dari Parti PN jika ada, dan pengerusi, setiausaha, ketua penerangan serta bendahari hendaklah dilantik dari kalangan wakil parti anggota sahaja. 

Ketika ditanya apakah pandangan beliau terhadap amaran Noh berkenaan, Hilman berkata;

"Jangan marah-marah, jangan terlalu cepat berprasangka, ini bulan Ramadan."