KUALA LUMPUR: Jabatan Wilayah Persekutuan pada tahun ini memberi keutamaan untuk menyelesaikan isu yang sudah lama membelenggu ketiga-tiga Wilayah Persekutuan dengan penyelesaian unik kepada cabaran tersendiri yang dihadapi setiap wilayah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa berkata, isu-isu berkaitan akan turut diselesaikan mengambil kira peranan berbeza yang dimainkan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan dalam memaparkan imej negara.

Beliau berkata, bagi Kuala Lumpur, isu legasi yang menjadi kebimbangan rakyat seperti masalah yang dihadapi peniaga, lambakan warga asing dan gelandangan selain program membasmi kemiskinan bandar akan diutamakan.

Bagi Labuan, Dr Zaliha berkata, pihaknya mempunyai visi untuk menjadikan pulau yang mempunyai julukan "Mutiara Borneo" itu sebagai hab pelancongan dengan memperkemas dan memperkasakan produk-produk pelancongan sedia ada.

"Putrajaya pula membawa imej yang sedikit berbeza, ia merupakan pusat pentadbiran negara yang juga satu bandar terancang ... apa yang kita mahu perkemas di situ adalah untuk menjadikannya bandar pintar dan pusat pelancongan," katanya yang turut memaklumkan perkara berkenaan akan dijelaskan dengan lebih lanjut dalam amanat pertamanya sebagai menteri pada Selasa depan.

Dr Zaliha berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri sesi ramah mesra bersama barisan Ketua Pengarang organisasi-organisasi media tempatan, di sini, malam tadi.

Berkongsi mengenai majlis itu, beliau berkata, ia diadakan bagi memastikan maklumat berkaitan hala tuju Jabatan Wilayah Persekutuan disampaikam secara terus kepada barisan ketua pengarang agar ia kemudiannya dapat disampaikan secara tepat kepada rakyat.

Menurutnya, ketua-ketua pengarang atau wakil mereka yang hadir turut berkesempatan berkongsi pandangan dan menyarankan agar lebih banyak maklumat mengenai pelbagai inisiatif jabatan itu disampaikan secara terperinci.

"Apa yang penting ialah kita (kerajaan dan organisasi media) dapat bersama-sama menyampaikan maklumat yang tepat kepada rakyat," katanya. - BERNAMA