JOHOR BAHRU: Seorang penyelia syarikat swasta mendakwa kerugian sebanyak RM92,220 apabila menjadi mangsa sindiket penipuan tawaran pekerjaan sambilan yang dikatakan boleh mendatangkan keuntungan.

Ketua Polis Daerah Seri Alam Supt Mohd Sohaimi Ishak berkata pada Khamis lepas, lelaki berusia 41 tahun itu menerima satu pesanan aplikasi WhatsApp dari sebuah syarikat yang menawarkan pekerjaan dengan cara menyiapkan tugasan dan dijanjikan pulangan serta komisen segera.

Katanya mangsa yang berminat kemudiannya telah dimasukkan ke dalam satu kumpulan aplikasi Telegram dan diberikan penerangan lanjut mengenai tugasan tersebut.

"Mangsa telah mengambil pakej menyiapkan empat tugasan dan membuat 10 transaksi bayaran kepada enam akaun berlainan mulai Ahad hingga semalam dengan jumlah keseluruhan RM92,220.

"Bagaimanapun, mangsa mula berasa curiga dan percaya ditipu apabila tugasannya telah selesai namun masih tidak menerima sebarang pulangan yang dijanjikan, sebaliknya dia diminta untuk membuat bayaran sebanyak RM47,580 bagi proses pemulangan modal dan komisen," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd Sohaimi berkata kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan iaitu tipu dan siasatan akan meliputi penglibatan keldai akaun sekiranya ada serta tindakan akan diambil terhadap pemilik akaun yang terlibat.

Beliau turut menasihati orang ramai agar lebih berhati-hati dan tidak mudah mempercayai sebarang tawaran pekerjaan dalam talian terutamanya yang menjanjikan pulangan yang besar dan cepat.

"Gunakan perkhidmatan semakan yang disediakan Jabatan Siasatan Jenayah Komersil di pautan https://semakmule.rmp.gov.my/ terlebih dahulu sebelum membuat sebarang transaksi bayaran kepada pihak lain," katanya.

-- BERNAMA