Skip to main content

Malaysia

Penyelidikan, perkongsian kepakaran perlu beri impak kepada masyarakat - Raja Muda Perlis

ARAU, 12 Mei -- Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah pada majlis perasmian Konvensyen Sejarah Nasional 2026: Bersama Membina Negara Bangsa di Dewan Kecemerlangan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) Kampus Pauh Putra, hari ini.  -- fotoBERNAMA
Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, pendekatan itu penting dalam mendepani perkembangan teknologi termasuk kecerdasan buatan (AI) yang kini mempengaruhi pelbagai sektor, daripada pendidikan dan kesihatan hingga ekonomi serta perkhidmatan awam. - Gambar Bernama
Advertisement

MEDAN: Hubungan antara institusi dan negara perlu diperkukuh menerusi penyelidikan bersama, perkongsian kepakaran, pemindahan teknologi serta pembangunan bakat bagi memastikan ilmu dan kepakaran memberi nilai serta impak nyata kepada masyarakat.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, pendekatan itu penting dalam mendepani perkembangan teknologi termasuk kecerdasan buatan (AI) yang kini mempengaruhi pelbagai sektor, daripada pendidikan dan kesihatan hingga ekonomi serta perkhidmatan awam.

"Potensinya besar, tetapi kemajuan teknologi tidak seharusnya diukur pada kecanggihannya semata-mata dan pembangunan AI perlu berpandukan etika, nilai kemanusiaan dan tanggungjawab sosial," titah baginda.

Baginda bertitah demikian ketika berkenan menyempurnakan penutupan International Conference on Next-Generation Digital Technologies (NEXT-D) 2026 di Universitas Muhammadiyah Sumatera Utara (UMSU), di sini, pada Ahad.

Turut berangkat, Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil serta anakanda, Puteri Hajah Farah Adriana Jamalullail.

Hadir sama Menteri Besar Perlis, Abu Bakar Hamzah; Rektor UMSU, Prof Dr Akrim, M.Pd dan Pengerusi Eksekutif Pusat Kecemerlangan Pendidikan Faizuddin (FCoEE) di bawah Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Prof Emeritus Datuk Dr Kamarudin Hussin.

Tuanku Syed Faizuddin Putra bertitah, teknologi juga perlu berperanan sebagai pemudah cara dalam memperluas peluang, khususnya kepada golongan muda, asnaf dan komuniti yang kurang mendapat perhatian.

"Melaluinya, akses kepada pendidikan dan perkhidmatan kesihatan dapat diperluas, peluang ekonomi dibuka, manakala kemahiran serta potensi generasi muda terus diperkasa," titah baginda.

Sementara itu, FCoEE menerusi kenyataan Istana Arau memaklumkan, penganjuran NEXT-D 2026 mencerminkan komitmen berterusan institusi pendidikan tinggi Malaysia dan Indonesia dalam memperkukuh jaringan akademik serta kerjasama rentas sempadan, khususnya dalam bidang teknologi digital dan inovasi.

"Kerjasama sedemikian diyakini mampu memperkukuh ekosistem digital yang bukan sahaja inovatif dan berdaya saing, malah berteraskan etika, keterangkuman serta manfaat kepada masyarakat sejagat," menurut kenyataan itu.

NEXT-D 2026 yang berlangsung selama tiga hari bermula semalam dianjurkan bersama oleh FCoEE dan UMSU dengan tema "Transforming The Digital Landscape With Emerging Technologies", menghimpunkan lebih 200 pakar global, ahli akademik dan penggiat industri dari pelbagai negara.

Persidangan itu memberi tumpuan kepada peranan teknologi termaju dalam membentuk dan memacu transformasi landskap digital global, selain menjadi wadah perkongsian ilmu, penyelidikan serta kepakaran antara akademia, industri dan pemegang taruh.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement