KOTA BHARU: Aktiviti penyeludupan petrol di sepanjang sempadan Malaysia-Thailand, khususnya di Kelantan, berada pada tahap rendah dan terkawal meskipun kebimbangan terhadap kemungkinan peningkatan ketirisan susulan konflik geopolitik di Asia Barat.
Ketua Polis Kelantan Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata penilaian itu dibuat berdasarkan data tangkapan terkini yang dibentangkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dalam Mesyuarat Jawatankuasa Keselamatan Negeri, baru-baru ini.
Beliau berkata keadaan tersebut berjaya dikekalkan hasil pelaksanaan operasi bersepadu secara agresif oleh pelbagai agensi penguat kuasa di pintu masuk sempadan serta stesen minyak yang dikenal pasti berisiko tinggi.
"Kawalan di sempadan dilaksanakan secara ketat, manakala laluan haram atau lorong tikus turut dipantau rapi sehingga menyukarkan sindiket untuk beroperasi.
"Jika ada pun yang cuba berbuat demikian, mereka terpaksa menggunakan laluan sah dengan modus operandi mengubah suai tangki kenderaan, namun jumlahnya tidak banyak kerana sentiasa dipantau," katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Beliau berkata rondaan dan pemantauan harian oleh Pasukan Gerakan Am (PGA) bersama anggota polis dari balai berhampiran akan terus diperkukuh, khususnya di stesen minyak yang dikenal pasti sebagai lokasi tumpuan sindiket selaras dengan usaha berterusan kerajaan mengekang ketirisan.
Pada Mei lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan memberi jaminan bahawa bekalan petrol dan diesel negara kekal mencukupi walaupun konflik di Asia Barat serta ketidaktentuan ekonomi global.
Kerajaan juga komited mengekalkan harga petrol RON95 bersubsidi pada kadar RM1.99 seliter, manakala hubungan baik Malaysia dengan beberapa negara pengeluar minyak, termasuk Iran, membantu memastikan laluan bekalan melalui Selat Hormuz terus berjalan lancar.
Sementara itu, ketika ditanya mengenai trend jenayah rentas sempadan secara keseluruhan, beliau menegaskan isu penyeludupan dadah dan pendatang tanpa izin kekal menjadi dua ancaman paling membimbangkan ketika ini.
Beliau berkata jenayah berkaitan dadah terus diberi keutamaan dalam tindakan penguatkuasaan kerana kesannya yang besar terhadap keselamatan dan kesejahteraan masyarakat.
“Masalah pendatang tanpa izin juga kekal menjadi perhatian kerana boleh menyumbang kepada pelbagai masalah sosial serta keselamatan sekiranya tidak dibendung,” katanya.
Bagaimanapun, beliau memberi jaminan bahawa tahap keselamatan di sempadan Kelantan-Thailand masih berada dalam keadaan baik hasil kerjasama erat antara Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan agensi keselamatan lain.
“Keselamatan sempadan sentiasa dipantau dan diperkasakan dari semasa ke semasa bagi memastikan sebarang ancaman jenayah rentas sempadan dapat ditangani dengan berkesan,” katanya.
-- BERNAMA