Penyingkiran Bendahari PAS Pulau Pinang, Iszuree Ibrahim daripada semua jawatan yang disandangnya dalam Jawatankuasa Tetap Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP), dibuat berdasarkan laporan media, kata Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri, Wong Hon Wai.

Beliau berkata proses pemecatan tidak melalui proses siasatan dalaman, tetapi Iszuree telah diberi peluang membuat penjelasan berhubung isu tersebut menerusi sidang akhbar.

Namun, sebaliknya, Iszuree secara berterusan mengkritik kepimpinan kerajaan negeri, katanya kepada pemberita dalam sidang media di sini.

Hon Wai turut menyatakan bahawa beliau akan menyampaikan memorandum yang mengandungi 19 tandatangan ahli MPPP yang mahu Iszuree dipecat, kepada Exco kerajaan negeri yang bermesyuarat hari ini.

Memorandum itu diserahkan oleh wakil ahli MPPP Harvinder Singh.

Iszuree disingkirkan daripada semua Jawatankuasa Tetap MPPP berikutan ucapan dasar bendahari Badan Perhubungan PAS Pulau Pinang itu pada Muktamar Tahunan PAS ke-60 di Batu Pahat, Johor Baharu baru-baru ini yang menegur kerajaan negeri berhubung isu perumahan.

Sidang media yang diadakan berlangsung dalam suasana tegang selepas Wong gagal membuat penjelasan mengapa Iszuree tetap dikenakan tindakan walaupun selepas mendakwa portal berita pro-pembangkang tidak melaporkan dengan tepat perkara yang dibangkitkan beliau dalam Muktamar PAS itu.

Iszuree dilaporkan berkata beliau menerima surat mengeluarkannya daripada MPPP, namun surat berkenaan tidak menyatakan alasan tindakan oleh pihak berkuasa tempatan itu biar pun Iszuree telah menjadi ahli majlis itu sejak 2010.

Surat bertarikh 26 Sept itu memaklumkan bahawa Majlis Mesyuarat Kerajaan pada 25 Sept memutuskan mengeluarkan Iszuree daripada semua Jawatankuasa Tetap, MPPP yang beliau merupakan seorang ahli dan membekukan semua peruntukan.