Antara ratusan penyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim yang memenuhi pekarangan Mahkamah Persekutuan di sini, ada yang sanggup menempuh perjalanan jauh untuk menunjukkan kesetiaan mereka kepada Ahli Parlimen itu.

Difahamkan dari Permatang Pauh sahaja terdapat seramai lebih 150 orang yang datang dengan menaiki bas.

"Itu tidak termasuk lebih 20 buah bas lagi yang membawa para penyokong Anwar dari seluruh negeri Pulau Pinang," ujar seorang warga emas yang enggan menyatakan namanya.

Difahamkan, mereka semua bertolak pada jam 11 malam tadi dan tiba di Putrajaya pada waktu Subuh hari ini.

"Sesudah menunaikan solat Subuh di Masjid Besi, kami terus ke sini untuk menunjukkan sokongan.

"Kami percaya Anwar tidak melakukan kesalahan seperti didakwa. Kami berdoa dan berharap agar beliau bebas daripada semua ini," kata wanita tersebut yang datang bersama keluarganya.

Mereka bergabung jumlah dengan ratusan lagi penyokong lain yang datang dari beberapa negeri dan cabang parti.

Ditanyakan tentang penerimaan mereka tentang apa juga keputusan, Jamilah memberitahu mereka redha dengan ketentuannya.

"Apa yang kami tahu dan mahu, dia akan bebas. Jika berlaku sebaliknya, kami kecewa dan akan berasa sangsi dengan sistem keadilan dan kehakiman di negara ini," ujarnya yang menerima sokongan rakan-rakannya.

Sementara itu, seorang lagi penyokong setia warga emas dari Permatang Pauh yang hanya mahu dikenali dengan nama Jamilah, memberitahu bahawa dia dan rakan-rakan sanggup datang walaupun dalam keadaan kesihatan yang kurang memuaskan.

"Kami mahu bersama Anwar untuk menunjukkan sokongan kami kepadanya. Dia tidak bersalah, kami amat yakin.

"Ini kaki saya sakit, jalan pun terdengkot-dengkot namun hal ini bukan selalu berlaku. Kami kena datang juga walaupun anak-anak kami tidak bersetuju kami bersusah-payah begini.

"Malah ada yang datang ke sini tanpa memberitahu anak-anak, kerana tidak mahu mereka risau," katanya merujuk kepada ramai lagi rakan-rakan yang seusia dengannya.

Sementara itu, kumpulan penyokong tegar yang mendesak pembebasan Anwar mula menjalankan aktiviti ceramah di pekarangan mahkamah.

Mereka membawa sepanduk dan kain rentang, bendera parti, memakai baju T dengan tulisan 'Rakyat Hakim Negara, serta berulang kali melaungkan takbir dan 'Reformasi' setiap kali penceramah menyampaikan kata-kata semangat.

Anwar pada hari ini berdepan hari keputusan rayuan akhir kes liwatnya yang membabitkan bekas pembantu peribadi beliau, Saiful Bukhari Azlan.

Prosiding rayuan akhir ini telah bermula sejak 28 Oktober 2014 dan berlangsung selama lapan hari dengan penggulungan hujah kedua-dua pihak pendakwa dan pembelaan pada 7 November lalu.